Kebimbangan Terhadap Bencana Alam … Mohd Shahar Dapatkan Penjelasan Dalam Parlimen
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah hari ini bertanya sejauh mana langkah yang dilakukan kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam menangani bencana alam yang berlaku di negara ini.
Menerusi ruang yang ada beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar turut sama memberikan pandangan agar kerajaan menanganinya melalui penyelesaian berasaskan alam.
“Kenapa kita tidak menumpukan penyelesaian berasaskan alam daripada penyelesaian berasaskan kejuruteraan?
“Bagaimana kementerian dapat melihat supaya penyelesaian menggunakan alam lebih dipertingkatkan supaya biodiversiti ini menjadi sebagai asas.
“Adakah konsep kefahaman di negara kita ini berkurangan dari segi penyelesaian berasaskan alam ini?” katanya.
Mohd Shahar berkata demikian pada di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab kepada persoalan tersebut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya melaksanakan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta mengurangkan kos jangka panjang yang berkaitan dengan tindak balas kepada bencana berkaitan iklim.
“Saya ingat lebih jelas perkara ini apabila kita sedang siap dalam buat masa ini kita tengah siapkan MyNAP.
“Sebab bila kita bercakap tentang soal perubahan iklim, bukan saja kena kurangkan gas rumah kaca tapi pada masa sama kita juga tahu bahawa nak tak nak ia pun sudah berlaku hari ini perubahan iklim.
“Dan kita kena terima kepada realiti pada hari ini dan pendekatan berasaskan alam ialah perkara yang sebenarnya patut diutamakan,” ujar beliau. – UMNO Online