Lawatan Kerja: Delegasi Malaysia Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas Presiden Mesir

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Delegasi Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Mesir, TYT Abdel Fattah El-Sisi sempena rangka lawatan kerja ke republik berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa pertemuan tersebut telah membincangkan pelbagai topik untuk kepentingan kedua-dua negara.

“Saya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar bin Ibrahim dan delegasi Malaysia kini berada di Kaherah, Republik Arab Mesir dalam siri lawatan kerja bermula pada Sabtu hingga 12 November 2024.

“Alhamdulillah, gerak kerja pertama di Mesir telah dimulakan dengan kunjungan hormat Perdana Menteri ke atas TYT Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Republik Arab Mesir di Istana Al-Ittihadiya.

“Kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala. Kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan mengenai pelbagai topik berkepentingan bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan bahawa perbincangan berkenaan banyak tertumpu kepada isu kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Perbincangan banyak tertumpu kepada kekejaman terhadap Palestin dan usaha mencari jalan menghentikan pembunuhan terhadap rakyat yang tidak berdosa.

“Selain itu, peningkatan kerjasama sedia ada dalam perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; pelancongan, pendidikan serta kerjasama dalam hal ehwal Islam juga disentuh oleh kedua-dua pemimpin.

“Saya kemudiannya mewakili Kerajaan Malaysia untuk menandatangani dan bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Arab Mesir dalam bidang hal ehwal Islam disaksikan Perdana Menteri dan TYT Presiden Abdel Fattah El-Sisi,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit