Karnival Kerjaya MYFutureJobs Di Kelantan Buka Peluang Pekerjaan Rakyat Tempatan – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Karnival Kerjaya MYFutureJobs PERKESO Oghe Kelate 2024 yang diadakan di Gua Musang bertujuan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan melalui pelbagai tawaran kerja daripada majikan yang terlibat.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat di wilayah Pantai Timur.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap keperluan mendesak rakyat di Wilayah Pantai Timur. Sebagai contoh, melalui Belanjawan 2025, Pusat Rehabilitasi PERKESO Wilayah Timur (PRPWT) akan dibina di Terengganu dengan peruntukan hampir RM600 juta,” katanya.
Abdul Rahman menambah, langkah ini diambil berdasarkan statistik semasa yang menunjukkan bahawa antara 15 hingga 20 peratus pesakit PERKESO berasal dari negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan.
“Pembangunan fasiliti ini sebagai pusat rehabilitasi komprehensif adalah bukti komitmen tinggi kerajaan dalam merealisasikan aspirasi 3K KESUMA iaitu Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan demi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara,” jelasnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Turut hadir pada majlis perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs PERKESO Oghe Kelate 2024 di Gua Musang ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Shahbudin Hashim, ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, serta peserta karnival. Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis turut menyatakan bahawa antara tahun 2021 hingga 2024, seramai 30,206 pencari kerja berjaya ditempatkan melalui portal MYFutureJobs.
“Sehingga kini, PERKESO telah menawarkan sebanyak 137,147 peluang pekerjaan di negeri Kelantan. Malah, sehingga Oktober tahun ini, seramai 3,597 rakyat Kelantan telah berjaya mendapat pekerjaan melalui inisiatif perkhidmatan pekerjaan PERKESO,” tambahnya.
Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Gua Musang turut menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan daripada 20 majikan terkemuka dengan tawaran gaji yang mencecah RM8,000. Ini sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu pengangguran, khususnya di kawasan luar bandar. – UMNO Online