Kes Najib: Perintah Bela Diri Ruang Untuk Buktikan Tidak Melakukan Kesalahan – Abdul Fareed

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memanfaatkan sebaiknya ruang membela diri seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Menurut beliau, ia sebagai peluang bagi membuktikan Najib tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan pihak pendakwa.

“Apabila mahkamah memerintahkan seseorang tertuduh untuk membela diri, ini bermakna pihak pendakwa raya telah berjaya membuktikan terdapatnya kes prima facie, iaitu terhadap unsur-unsur yang wujud seperti mana pertuduhan.

“Semasa membela diri, tertuduh boleh mengemukakan keterangan dan saksi yang membuktikan bahawa beliau tidak melakukan perbuatan sepertimana yang beliau telah dipertuduhkan.

“Dengan kata lain, beliau diberi peluang untuk membuktikan beliau tidak melakukan kesalahan tersebut,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Sebelum ini, pada Rabu minggu lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama di cawangan AmIslamic Bank Berhad antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika disabitkan kesalahan, beliau berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Berikutan sabitan tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah mengemukakan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.