Akar Umbi Sambut Baik Usul Had Umur 40 Tahun Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Akar umbi Pergerakan Puteri UMNO menyambut baik usul had umur 40 tahun sayap tersebut yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ogos lalu.

Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Langat, Nursyahira Habeb berkata, usul tersebut mengambil kira masa wanita muda untuk mencapai kestabilan dalam hidup sambil berpegang teguh kepada perjuangan parti.

“Selaku wanita muda saya bersetuju dengan usul yang diperjuangkan oleh Pergerakan Puteri UMNO untuk meningkatkan had umur kepada 40 tahun.

“Memahami bahawa wanita muda perlu masa untuk mencapai kestabilan kehidupan tanpa hilang rasa sayang dan semangat juang kepada parti… fokus juga perlu diberikan kepada akademik, kerjaya, keluarga, kehidupan dan sebagainya.

“Maka, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Langat menyambut baik usul meningkatkan had umur Puteri UMNO kepada 40 tahun,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Kuala Langat, Sofiyah Maisarah Abu Bakar berkata, dengan menaikkan had umur Pergerakan Puteri UMNO, ia mampu melahirkan pemimpin wanita muda yang berdedikasi.

“Pada pandangan saya, melanjutkan had umur Pergerakan Puteri UMNO ke 40 tahun adalah relevan. Ia bukan hanya untuk jawatan semata-mata. Tapi, ini untuk memastikan kita dapat melahirkan pemimpin wanita muda yang lebih berdedikasi, bersikap lebih matang, berpengalaman dan berdaya saing dalam melakukan apa sahaja tugasan.

“Puteri-puteri bukan hanya mampu berhias dan bersolek sahaja. Namun, kami juga mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih baik. Semoga gelombang merah jambu Pergerakan Puteri ini dapat dilanjutkan sehingga ke usia 40 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pteri UMNO Bahagian Setiawangsa, Nur Najihah Aina Zainal berkata, usul tersebut turut dibawa untuk memperkasakan generasi wanita muda agar bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Pertama kali saya menyertai PAU Pergerakan Puteri UMNO tahun ini, ucapan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan para pembahas benar-benar menonjolkan keupayaan wanita muda dalam memperjuangkan isu serta hak generasi wanita muda negara. Cadangan melanjutkan had umur puteri kepada 40 tahun juga pada saya adalah relevan.

“Melalui pelbagai program dan inisiatif menepati ‘trend’ dan kehendak terkini, saya dapat memahami usaha yang dilakukan oleh Pergerakan Puteri UMNO untuk memperkasakan generasi kita agar bersedia untuk menghadapi segala cabaran semasa serta di masa akan datang melangkaui soal politik secara realistik. Tahniah Puteri UMNO Malaysia,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan pada PAU 2024, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk diteliti dan diputuskan.

Usul menaikkan had umur keahlian Puteri sehingga 40 tahun menjadi antara perkara utama dibahaskan perwakilan Puteri UMNO pada PAU 2024 kali ini yang berharap ia diluluskan segera. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit