Tengku Zafrul Tandatangani Perjanjian Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) Bersama China

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah menandatangani Rancangan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan Republik Rakyat China.

Ujarnya, perjanjian ini bertujuan untuk meningkatkan pembangunan dan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor strategik.

“Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan pembangunan dan kerjasama berkualiti tinggi antara Malaysia dan China melalui penyelarasan dasar, keterhubungan fasiliti, kerjasama perdagangan dan integrasi kewangan.

“Selain itu, pelan ini memperkukuh hubungan dalam sektor-sektor seperti pendidikan, sains dan teknologi, kesihatan, budaya, pelancongan, sukan dan media,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Penandatanganan perjanjian tersebut berlangsung dalam satu majlis yang dihadiri oleh wakil kerajaan kedua-dua negara dengan China ditandatangani oleh Liu Sushe selaku Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Kebangsaan China.

Tengku Zafrul kini berada di China mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam lawatan kerja dari 4 hingga 7 November.

Di Shanghai, Malaysia telah diberikan penghormatan sebagai “Country of honour” di Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7), dengan Anwar diberi penghormatan untuk berucap sejurus selepas rakan sejawatannya Li Qiang menyampaikan ucapan, sebelum diikuti lima negara yang lain.

Delegasi Malaysia juga bakal diberikan penghormatan besar oleh Presiden China Xi Jinping apabila pemimpin negara itu bersetuju menganjurkan satu majlis makan malam bagi meraikan kehadiran Anwar, di The Great Hall of People, Beijing pada 7 November ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.