UMNO Kekal Berprinsip, Pelihara Kepentingan Orang Melayu Dan Islam – Shamsul Anuar

LENGGONG, 7 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah bertegas bahawa parti keramat ini masih kekal dalam prinsip membawa perjuangan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan Islam.

Katanya, ini terbukti melalui ketetapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menyaksikan pelbagai agenda dibawa bagi mengangkat syiar Islam.

“Jangan sesekali bimbang kerana UMNO kekal dengan identiti perjuangan Melayu, Islam dan menjaga bumiputera di samping membela kepentingan kaum-kaum lain

“Ini termaktub dalam Perlembagaan UMNO, malah diperkukuhkan lagi oleh Presiden parti semasa PAU,” katanya.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian semasa Ceramah Penerangan Isu-isu Semasa yang diadakan di UMNO Bahagian Lenggong, pada Ahad.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli MKT UMNO, Datuk Hasmuni Hassan; Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid; Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed; Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din serta kepimpinan dan anggota parti setempat.

Beliau dalam pada itu juga berharap ahli UMNO dan juga akar umbi parti untuk tidak terpengaruh dengan dakyah dibawa pembangkang terutama melibatkan prinsip perjuangan parti.

Menurut Shamsul ini kerana, UMNO/Barisan Nasional sejak awal kemerdekaan negara telah melaksanakan sistem Islam di negara ini melalui pelbagai sektor yang sehingga kini masih lagi diguna pakai.

“Ceramah mereka (pembangkang) sebelum ini yang telah membuat tohmahan bahawa UMNO sudah lari prinsip perjuangannya adalah tidak benar.

“UMNO sekali-kali tidak lari sebaliknya kita kekal dengan prinsip ini kerana Islam sukar untuk digugat di negara ini dengan sistem yang kita ada.

“Tapi barangkali kepada ahli parti, kita kena ubah persepsi yang mengatakan bahawa UMNO tidak lagi mampu untuk membela dan mempertahankan Islam dalam negara ini sebab itu telah berkali-kali Setiausaha Agung dan pimpinan katakan dan kita kena yakin bahawa identiti parti ini tidak sekali-kali berubah,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.