Jeffery Nor Gesa Tindakan Segera Dilaksana Atasi Krisis Air Rakyat Sabah
PUTATAN, 5 Nov – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, menggesa tindakan segera diambil oleh pihak berwajib bagi menangani isu bekalan air yang kerap terganggu di Sabah.
Katanya, masalah terbabit kerap kali berlaku sebagaimana yang kini melibatkan Kampung Contoh di sini.
“Masalah ini bukanlah perkara baru, tetapi telah berlarutan selama bertahun-tahun, mengakibatkan penduduk terpaksa berdepan dengan kesulitan berulang,” katanya kepada UMNO Online yang mengakui kesal kerana hal tersebut tidak ada penyelesaian.
Jeffery menyatakan bahawa kelemahan Jabatan Air dalam menyelesaikan masalah ini amat mengecewakan.
“Bekalan air di kampung ini sentiasa bermasalah, sekejap ada sekejap tiada. Jika pihak jabatan tidak mampu menyelesaikan isu ini, sekurang-kurangnya pastikan lori tangki dihantar ke kawasan kritikal untuk membantu penduduk,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, menegaskan bahawa penduduk tidak seharusnya terus menderita akibat kegagalan pihak berwajib berkaitan infrastruktur asas yang penting seperti bekalan air bersih.
“Rakyat perlukan pembelaan. Mereka berhak untuk hidup dalam keadaan yang lebih baik dengan keperluan asas seperti air yang mencukupi dan bersih.”
Jeffery juga menggesa agar pihak berwajib melakukan tindakan segera demi kelangsungan hidup masyarakat.
“Ini bukan soal politik, tetapi mengenai kebajikan rakyat dan keperluan asas mereka. Kita perlu memastikan kelangsungan hidup mereka terjamin,” tambahnya.
Beliau berharap langkah konkrit akan diambil segera demi memastikan kesejahteraan penduduk negeri terbabit tidak terus terabai. – UMNO Online