Ab Rauf Harap MIHF’24 Jadi Pemangkin Anjakan Baharu Industri Halal Melaka ke Pasaran Global

MELAKA, 3 Nov – Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’24) diharap menjadi pemangkin penting bagi memperkasakan industri halal negeri ini, mengorak langkah ke peringkat global, dan menarik lebih banyak perhatian terhadap produk halal tempatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, festival ini bertujuan untuk menonjolkan potensi besar sektor halal di Melaka dan Malaysia, sekaligus membuka peluang bagi usahawan tempatan dalam mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara.

“MIHF’24 adalah satu platform penting untuk Melaka dan Malaysia mempromosikan ekosistem halal yang bukan sahaja melibatkan produk makanan dan minuman tetapi juga industri lain seperti kosmetik, farmaseutikal, serta perkhidmatan hospitaliti.

“Potensi ini besar, dan kita harap MIHF’24 mampu menjadi pintu masuk bagi usahawan tempatan menembusi pasaran halal global,” kata beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya selepas perasmian MIHF’24 yang berlangsung di Hotel Courtyard, di sini, semalam.

Ab Rauf menyatakan harapan tinggi terhadap MIHF’24 sebagai pemangkin anjakan baharu kepada industri halal, bukan sahaja untuk memenuhi permintaan tempatan tetapi juga untuk mengembangkan pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, produk halal tempatan kini semakin mendapat perhatian di seluruh dunia, termasuk negara-negara yang bukan majoriti Islam, kerana standard kebersihan dan kualiti tinggi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa halal.

“Industri halal pada hari ini telah membuktikan keupayaannya yang berpotensi besar untuk membawa satu anjakan baharu seiring dengan perkembangannya yang pesat.”

Ujarnya, sehingga kini, Melaka telah berjaya mencatatkan lebih 300 syarikat dan produk halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), satu pencapaian yang membanggakan. Malah, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut menerima lebih 400 permohonan pensijilan halal sepanjang tahun 2024, menandakan peningkatan minat dalam kalangan syarikat tempatan untuk memenuhi standard halal yang diiktiraf.

Turut hadir bersama ialah beberapa pemimpin utama negeri termasuk Datuk Azhar Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman; serta timbalannya, Datuk Rosli Abdullah yang juga ADUN Kuala Linggi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.