Terus Cakna, Mohamad Hasan Ziarah Dan Sampaikan Bantuan Kepada Golongan Memerlukan
RANTAU, 3 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Ahli Parlimen Rembau, meluangkan masa untuk melawat dan menziarah warga emas, pesakit terlantar, serta mereka yang menghidapi penyakit kronik di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Cempaka.
Dalam lawatan yang diadakan baru-baru ini, beliau berkesempatan menyampaikan bantuan berupa kerusi roda, lampin pakai buang, bakul makanan, serta sedikit bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.
“Alhamdulillah, dapat saya sampaikan sumbangan ini, dan diharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas,” ujar beliau.
Mohamad turut mendoakan agar para penerima bantuan kekal tabah, segera sembuh, dan dipermudahkan segala urusan.
Selesai sesi ziarah, beliau meneruskan jadualnya ke Kampung Perigi Jernih di Rembau untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kali ke-4 Koperasi Tanam Semula Berkelompok Perigi Jernih Rembau Berhad.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada pengurusan koperasi atas usaha gigih dalam memastikan setiap ahli koperasi menerima pulangan yang baik setiap tahun.
“Tahniah kepada seluruh pengurusan koperasi atas dedikasi dalam membangunkan koperasi ini. Saya berharap kejayaan ini dapat dijadikan inspirasi kepada semua untuk terus meningkatkan hasil dan faedah bagi setiap ahli,” katanya.
Majlis dihadiri oleh ahli koperasi dan masyarakat setempat yang turut berterima kasih atas perhatian serta keprihatinan beliau terhadap kemajuan ekonomi setempat. – UMNO Online