Sambutan Deepavali Meraikan Persahabatan Dan Perpaduan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghadiri beberapa Majlis Rumah Terbuka Deepavali yang meriah sempena perayaan ini.

Hari beliau bermula dengan menghadiri majlis yang dihoskan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran, diikuti oleh jemputan daripada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

 

Seterusnya, Ahmad Zahid bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Digital, di Sentul Depot, Kuala Lumpur. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Speaker Dewan Rakyat dan anggota kabinet.

Setelah itu, Ahmad Zahid berkesempatan untuk memenuhi jemputan majlis rumah terbuka Deepavali di Bagan Datuk, di rumah rakan-rakan dan kenalan rapatnya, termasuk Datuk Supramaniam, Arvend Appalasamy, Subramaniam dari NGO Hemi, dan Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Bagan Datuk Kanayya A/L Jami Kanniah.

Kata Ahmad Zahid, kehangatan sambutan yang diterimanya mencerminkan semangat perpaduan dan kemesraan dalam masyarakat majmuk.

“Saya amat menghargai setiap detik kebersamaan ini yang mengingatkan kita akan pentingnya rasa hormat dan kasih sayang yang menambat kita sebagai satu keluarga besar di tanah air yang tercinta ini,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi menjemput dan berkongsi kegembiraan Deepavali bersama beliau hari ini dan berharap agar tradisi meraikan kepelbagaian dan hidup dalam keharmonian ini akan terus subur dan mekar dalam kalangan masyarakat Malaysia. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.