Pemuda UMNO Ranau Saran Berpolitik Secara Sihat, Bina Persepsi Positif

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pemuda UMNO Bahagian Ranau menyarankan semua pihak untuk berpolitik secara matang untuk membina persepsi politik yang positif dan segar.

Ketuanya, Md Nadzmin Kamin berkata, info grafik yang tular baru-baru ini mengenai jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah ternyata bersifat provokatif dan memperlekehkan institusi tersebut.

“Merujuk kepada info grafik yang tular di media sosial baru-baru ini ia bersifat provokasi dan memperlekehkan institusi Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang kini disandang oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Saya ingin menegaskan bahawa ini merupakan institusi tertinggi dalam parti UMNO di peringkat negeri Sabah dan wajib dihormati. Sekiranya institusi ini tidak dipertahankan, mana-mana pemimpin yang memimpin UMNO Sabah pada masa akan datang berisiko dijatuhkan oleh pihak musuh.

“Hal ini disebabkan budaya mempertahankan institusi ini perlu menjadi amalan dalam kalangan ahli parti bagi menjaga kestabilan dan kekuatan parti di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, info grafik yang tular tersebut sudah semestinya bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan UMNO Negeri Sabah.

“Kenyataan yang tular baru-baru ini jelas sekali merupakan provokasi yang bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam UMNO Sabah. Tambahan pula, setelah disemak, laman media yang tertera pada poster tersebut tidak wujud sama sekali.

“Pemuda UMNO Bahagian Ranau menyarankan agar pihak-pihak tertentu berpolitik secara matang dan sihat, demi membina persepsi serta pandangan politik yang positif dan segar.

“Ini penting bagi menarik minat generasi muda untuk kembali menyertai arena politik dan menggemari medan perjuangan ini,” katanya.

Sebelum ini, tular info grafik palsu yang menyatakan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhasrat agar Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan menerajui UMNO di negeri itu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.