Raikan Kepelbagaian, Santuni Masyarakat India Menjelang Deepavali – Mohd Jafni
KULAI, 30 Okt – Menjelang Perayaan Deepavali yang bakal berlangsung esok, Exco Kerajaan Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor telah melaksanakan inisiatif penyampaian sumbangan kepada masyarakat India yang kurang berkemampuan di kawasan Majlis Perbandaran Kulai.
Maklumnya, sebanyak RM 50,000 diperuntukkan untuk majlis sumbangan ini, yang memberi manfaat kepada 250 penerima, termasuk golongan warga emas, miskin bandar, OKU, dan pesakit kronik berbangsa India.
“Sumbangan ini dilaksanakan selaras dengan keperihatinan Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang komited untuk memastikan setiap kaum dan masyarakat menerima bantuan yang sewajarnya,” katanya kepada UMNO Online.
Jelas beliau, sumbangan yang diberikan berbentuk wang tunai, beras, dan kuih raya diharap dapat memberikan sedikit keceriaan kepada penerima dalam menyambut perayaan ini.
Dalam satu majlis berasingan di SJKT Ladang Kelan, Mohd Jafni juga telah menyampaikan sumbangan 1,000 Kit Bantuan Bakul Makanan, yang memberi manfaat kepada 170 keluarga, khususnya ibu bapa pelajar di sekolah tersebut.
“Inisiatif ini adalah bukti komitmen Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menjaga kebajikan rakyat. Kami percaya bahawa setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, berhak menerima bantuan dan sokongan, terutamanya dalam menghadapi cabaran semasa. Kami bertekad untuk terus berusaha bagi memastikan kebajikan semua kaum di Johor terjaga.
“Semoga dengan inisiatif ini, masyarakat India di sini dapat menyambut Deepavali dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan. Kita meraikan kesatuan dalam kepelbagaian demi kesejahteraan masyarakat secara holistik,” katanya.
Selain itu, katanya gerak kerja melaksanakan inisiatif ini juga mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam mempromosikan keharmonian dan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negeri Johor.
Mohd Jafni juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha ini termasuklah kepada Syarikat GN Resound (Malaysia) Sdn Bhd atas sumbangan 250 kotak makanan yang telah disediakan untuk penerima bantuan.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan BN sentiasa komited untuk bersama rakyat, dengan harapan agar setiap individu merasakan kehadiran kerajaan yang prihatin.
“Kami akan terus mendengar suara dan keperluan masyarakat bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang di seluruh negeri.
“Inisiatif ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan dan rakyat, serta memberikan inspirasi kepada semua untuk berganding bahu dalam membangunkan masyarakat yang lebih sejahtera,” tambahnya lagi.
Turut dilaksanakan sumbangan Bakul Makanan sempena Perayaan Deepavali di Kuil Arulmigu Maha Mariamman, Jalan Tan Yoke Fong, yang membabitkan seramai 350 orang penerima. – UMNO Online