SPIIM Tegaskan Kesucian Agama Islam, Kedudukan Orang Melayu Terjamin
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Sekretariat Perpaduan Ilmuan Islam Malaysia (SPIIM) menegaskan bahawa kesucian agama Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini terjamin di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Bersama Sekretariat Perpaduan Ilmuan Islam Malaysia, Datuk Seri Ahmad Awang memaklumkan bahawa SPIIM yang dianggotai oleh Majlis Penasihat Pakar Parti AMANAH bersama Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Islam PKR akan memainkan peranan sebaiknya untuk mengekang mana-mana pihak memainkan isu 3R (raja, agama, bangsa).
“Kami baru selesai adakan mesyuarat kali kedua walaupun telah lama wujud SPIIM ini yang menyatukan Majlis Ulama UMNO, Majlis Penasihat Pakar Parti AMANAH bersama Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Islam PKR.
“Pertama sekali kita nak aktifkan SPIIM. Ini perkara penting kerana tiga parti ini di bawah Kerajaan Perpaduan. Kita mengharapkan SPIIM ini menjadi satu gabungan kepada sekretariat parti masing-masing.
“Perkara yang masih dimainkan oleh pihak pembangkang setelah Kerajaan Perpaduan tertubuh hampir dua tahun dan selepas Bajet 2025 dibentangkan ialah kononnya Islam terancam, negara dipengaruhi orang bukan Islam dan sebagainya. Mereka menggunakan perkara tersebut untuk mempengaruhi rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, kedaulatan agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu masih dijaga meskipun bertukar parti yang memerintah kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Melihat kepada isu 3R, kami turut berbincang bagaimana untuk memainkan peranan bersama terutamanya bagi menjelaskan isu-isu dimainkan selain menyatakan usaha-usaha pembangunan Islam yang dilakukan.
“Kita tidak akan menjawab naratif digunakan oleh pihak pembangkang yang menyatakan bahawa Islam terancam. Itu hanyalah propaganda mereka. Kita akan tunjukkan bahawa sebenarnya Islam subur di negara ini dan usaha-usaha kerajaan sentiasa menjaga Islam.
“Tidak kira parti mana yang memerintah pun, di dalam Perlembagaan telah termaktub bahawa Islam adalah agama persekutuan termasuklah hak istimewa orang Melayu. Tiada siapa boleh menghapuskan perkara ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa pihak pembangkang cuba memainkan naratif tersebut untuk memecahbelahkan Kerajaan Perpaduan yang sudah berjaya menstabilkan negara sepanjang dua tahun memerintah.
“Mereka menggunakan propaganda tersebut dan menyasarkannya kepada anak-anak muda. Jadi tidak hairanlah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu majoriti anak muda menyokong PN.
“Setelah dua tahun memerintah kita melihat dari segi ekonomi, politik… kita berada dalam keadaan stabil tetapi mereka tetap mainkan isu berkenaan untuk memecahbelahkan Kerajaan Perpaduan.
“Insya-Allah dengan pelbagai program kita telah rancang bersama adalah untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan, ini akan membolehkan kita memperomosikan SPIIM bagi menyampaikan mesej bahawa Islam di negara ini terjamin dan tiada yang mampu mengancam kedudukan orang Melayu,” katanya lagi. – UMNO Online