Mendepani PRN Sabah: Kejayaan Boleh Dicapai Dengan Strategi Politik Tepat
KUALA LUMPUR, 1 Nov – “Hanya dengan strategi politik yang betul dan tepat oleh semua pihak, barulah satu formula kejayaan dapat dicapai tanpa perlu berdepan risiko besar.
Demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan menerusi hantaran di laman Facebooknya yang memberi respon mengenai kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Jelasnya, gabungan dan kerjasama politik tersebut adalah yang paling strategik untuk menakluk semula Negeri Sabah.
“Pengerusi BN menyatakan bahawa kerjasama antara BN dan PH dalam menghadapi PRN Sabah telah dimuktamadkan. Ini berita yang kita alu-alukan. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan PH dan BN untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.
“Beliau juga memaklumkan bahawa ada perjumpaan tidak rasmi beliau dengan pemimpin utama GRS baru-baru ini untuk membincangkan semua kemungkinan. Ini juga kita alu-alukan. Saya percaya inilah gabungan atau kerjasama politik yang paling strategik untuk memenangi PRN Sabah yang bakal diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook yang dimuatnaik pada Isnin.
Abd Rahman yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah beranggapan bahawa gabungan parti tempatan dan nasional adalah yang terbaik untuk memenuhi aspirasi semua pihak.
“Setelah PRN Sabah berakhir, BN perlu terus berada dalam kerajaan negeri bersama GRS dan PH untuk memastikan BN dapat menyumbang khidmat kepada masa depan rakyat Sabah dan kesejahteraan mereka.
“Gabungan parti tempatan dan parti nasional (berakar umbi tempatan) adalah yang terbaik kerana ia dapat memenuhi harapan serta aspirasi semua pihak. Gabungan ini akan memberi kelebihan kerana setiap parti ada kekuatan dan kepakarannya.
“Realitinya, landskap politik Sabah begitu unik. Semua parti politik di Sabah sentiasa berdepan dengan cabaran keunikan ini. Lebih-lebih lagi ekoran lanskap politik yang tidak ketentuan dan PRN yang tidak lama lagi perlu diadakan,” katanya lagi.
Tegasnya, hak-hak Negeri Sabah yang mahu diperjuangkan masih memerlukan kerajaan pusat dan beliau tidak mahu kekalutan politik akan membantutkan usaha tersebut.
“Sabah tidak dapat lari dari hakikat bahawa ia masih perlu berurusan dengan kerajaan pusat. Semua hak-hak Sabah yang mahu diperjuangkan masih memerlukan rakan dialog iaitu kerajaan pusat.
“Kita tidak mahu ada kekalutan politik yang akan membantut kemajuan perbincangan antara negeri dan pusat (berkaitan hak-hak Sabah) yang sedang berjalan dengan amat baik sekarang.
“Jangan biarkan politik kebencian menjadi penghalang kepada kemajuan perbincangan yang masih berterusan. Masih banyak yang perlu diselesaikan dan percayalah hanya pendekatan politik inklusif serta terangkum akan menjadikan ia satu realiti,” katanya lagi.
Di samping itu beliau berpandangan bahawa perbalahan dan permusuhn politik sudah tentu akan menyusahkan usaha rakyat Sabah dalam menuntut hak mereka.
“Pada masa yang sama, percayalah, perbalahan dan permusuhan politik yang tiada kesudahan akan hanya menyusahkan usaha kita. Sejarah tidak berbohong dalam hal ini. Pembangunan Sabah dan kebajikan serta masa depan rakyat Sabah tidak boleh diletakkan dalam tangan satu kategori parti politik sahaja.
“Parti tempatan sudah tentu ada kekuatannya tersendiri. Namun jika kekuatan itu digabungkan dengan kekuatan parti nasional, saya yakin gabungan seperti inilah yang mampu meleraikan segala kesulitan dan permasalahan dalam perlaksanaan MA63 seterusnya memberikan kestabilan politik yang amat didambakan oleh rakyat Sabah.
“Dengan wujudnya kestabilan politik, lebih senang dan mudah untuk kita membangunkan Sabah termasuk meyakinkan pelabur-pelabur asing. Hanya dengan strategi politik yang betul dan tepat oleh semua pihak, barulah satu formula kejayaan dapat dicapai tanpa perlu berdepan dengan risiko besar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan kepentingan untuk merangkap strategi tidak berlandaskan emosi bagi menjadikan Sabah sebagai sebuah wilayah yang berpotensi.
“Adalah penting strategi itu tidak berasaskan emosi atau bersulamkan kemarahan. Biarlah strategi itu berasaskan fakta dan realiti yang akhirnya mewajibkan semua pihak untuk mengambil pendekatan berlapang dada serta minda.
“Kita semua tahu, Sabah mempunyai kekuatan yang cukup besar untuk menjadi wilayah penting di rantau ini. Kedudukan geografi yang strategik, sumber asli berbagai dan rakyat kuat serta rajin bekerja… semua ini adalah formula ramuan penting untuk menjadikan Sabah sebuah wilayah yang berpotensi. Maka, adalah penting untuk kita bekerjasama antara satu sama lain demi masa depan Sabah yang kita cintai ini.
“Akhir kalam, marilah kita doakan agar Sabah dan rakyatnya mendapat kerahmatan Allah SWT dan terus maju dan makmur sepanjang masa. Sesungguhnya dekad ke hadapan yang bermula pada tahun 2025 bakal menjanjikan masa depan Sabah yang lebih gilang-gemilang dari sebelumnya. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya lagi. – UMNO Online