Kuasa Ekonomi: Malaysia Berpegang Pada Dasar ‘Tidak Bersekutu’ – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia sentiasa berpegang pada dasar ‘tidak bersekutu’ dengan mana-mana negara kuasa ekonomi dalam menangani isu-isu antarabangsa termasuk perang perdagangan yang melibatkan Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China serta Persekutuan Rusia.
Menurut beliau bagi memastikan negara tidak tersepit dalam kancah peperangan perdagangan di kalangan negara-negara kuasa ekonomi yang maju, Kerajaan akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan diplomasi perdagangan dengan semua negara.
“Misi Galakan Pelaburan dan Perdagangan serta program perniagaan sempena lawatan rasmi YAB Perdana Menteri akan dipergiatkan bagi tahun-tahun akan datang bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan perdagangan yang sedia terbina dengan negara-negara ekonomi maju tetapi dalam masa yang sama untuk meneroka pasaran-pasaran baharu di seluruh pelosok dunia.
“Justeru, Kerajaan akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dengan rakan dagang sedia ada seperti negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah, Jepun, Republik Korea dan India, di samping mengeratkan kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan dagang bukan tradisional seperti Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Pakistan, negara-negara di Asia Tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan serta negara-negara di Amerika Selatan seperti Brazil, Peru dan Mexico,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Gombak, Datuk Amiruddin Shari Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah yang akan diambil oleh Kerajaan untuk menjamin kelangsungan syarikat dan industri berkepentingan utama supaya tidak menjadi mangsa perang perdagangan khususnya antara Amerika Syarikat, China dan Rusia.
Tengku Zafrul seterusnya menambah Kerajaan juga akan memberi perhatian kepada negara-negara pasaran baharu (emerging markets) seperti Oman, Kenya, Mesir, Angola, Namibia, Algeria dan Libya yang mencatatkan peningkatan eksport yang ketara bagi tempoh Januari hingga September 2024 hasil daripada strategi pempelbagaian eksport.
Tambahnya lagi selain Misi Galakan Pelaburan dan Perdagangan, Perdana Menteri sendiri telah melaksanakan lawatan-lawatan peringkat kepimpinan ke negara-negara yang berpotensi tinggi untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan.
“Di samping meningkatkan keharmonian antara pemimpin-pemimpin negara, lawatan peringkat tertinggi juga bertujuan mengukuhkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara-negara yang dilawati. Contohnya, lawatan ke Persekutuan Rusia pada September 2024 telah membuka satu lembaran baharu antara Malaysia dan Persekutuan Rusia bukan sahaja dari perspektif diplomatik tetapi turut membuka ruang untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara termasuk penyertaan negara dalam BRICS.
“Untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan-bahan mentah terutamanya import dari negara-negara yang terlibat dalam perang perdagangan, Kerajaan akan terus memberi galakan dan penekanan kepada industri tempatan untuk menggunakan sumber domestik. Sumber bekalan dari rantau ASEAN akan diberi keutamaan bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan.
“Kerajaan juga akan terus berusaha untuk memuktamadkan beberapa rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu, seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Dokumen ini dicetak melalui Sistem SSJP 4 /4 Arab Bersatu, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada; dan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea, serta menaik taraf Perjanjian sedia ada seperti Rundingan Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-China dan Kajian Semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India untuk membuka pasaran bagi eksport Malaysia yang lebih stabil dan kompetitif,” ujarnya. – UMNO Online