Shamsulkahar Mohon Kerajaan Baik Pulih Gerai, Kompleks Sukan Jempol

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berharap kerajaan dapat memberikan perhatian terhadap pembinaan baru gerai Simpang Empat Bandar Seri Jempol bagi menggantikan gerai sedia ada yang telah lama dan uzur beroperasi sejak 1983.

Beliau berkata imej gerai Simpang Empat ini perlu dijaga kerana terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran dengan Dataran Sri Jempol yang meriah dengan pelbagai program sepanjang tahun, antaranya ialah acara tahunan besar Petronas Cub Prix Championship yang telah berlangsung selama 12 tahun.

“Jempol menyambut baik pengumuman Perdana Menteri memperuntukkan RM 100 juta untuk membina gerai-gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negara.

“Justeru saya memohon pertimbangan kerajaan supaya dapat membina baru gerai Simpang Empat Bandar Seri Jempol bagi menggantikan gerai sedia ada yang telah lama dan uzur.

“Untuk makluman , surat permohonan membina gerai tersebut telah dikemukakan oleh Majlis Perbandaran Jempol kepada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan bertarikh 27.01.2023,” katanya.

Shamsulkahar berkata demikian ketika sesi perbahasan rang undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu beliau turut sama merakamkan penghargaan ke atas keprihatinan kerajaan berkenaan pembangunan sukan dengan meningkatkan peruntukan RM230 juta berbanding RM50 juta tahun lepas (2024), khusus untuk menaik taraf fasiliti kemudahan belia dan sukan.

Rentetan daripada itu Shamsulkahar juga turut memohon pertimbangan kerajaan untuk menaik taraf Kompleks Sukan Batu Kikir yang kini begitu uzur.

Katanya, kompleks sukan ini berkeluasan tapak lapan ekar dan terletak di kawasan strategik Pekan Batu Kikir yang berhampiran dengan 20 buah taman perumahan, 18 buah kampung tradisi dan empat buah sekolah.

“Penaiktarafan kompleks sukan ini akan meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti sukan dan riadah bagi daerah Jempol di samping menyediakan balapan untuk latihan atlet-atlet muda dari daerah Jempol,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.