Pengumuman Calon UMNO/BN PRN Sabah: Cabaran Dan Amanah Yang Perlu Digalas Berpasukan – Jeffery Nor
PUTATAN, 28 Okt – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menyifatkan pengumuman secara terbuka Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan nama beliau sebagai calon UMNO/Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang merupakan satu cabaran, amanah serta tanggungjawab yang perlu digalas.
Sambil mengakui beliau terkejut dengan pengumuman tersebut yang pada jangkaanya masih terlalu awal, iaitu sebelum DUN Sabah dibubarkan namun beliau menghormati keyakinan Bung sebagai pemimpin utama UMNO Sabah yang memberikan kepercayaan kepada beliau menggalas tanggungjawab tersebut.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, bukan soal calon, tercalon atau sebaliknya kerana matlamat utama kita ialah memulihkan imej UMNO khususnya dibahagian ini agar terus kembali diberikan amanah oleh rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program santai bersama belia serta ahli-ahli baharu UMNO Cawangan Kampung Pasar Puteh dekat sini, kelmarin.
Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan pengumuman Bung yang beliau adalah calon UMNO/BN bagi DUN Tanjung Keramat pada PRN Sabah ke-17 akan datang.
Mengakui ini satu amanah serta tanggunjawab besar yang perlu dipikul, Jeffery berkata beliau tidak mampu memikul tanggungjawab tersebut tanpa adanya sokongan dari semua pihak khususnya kepimpinan bahagian, sayap-sayap parti Wanita, Pemuda, Puteri, ketua-ketua cawangan malah pemimpin diperingkat akar umbi.
“Ini merupakan satu cabaran, dan saya yakin tanpa sokongan serta kerjasama dalam semangat bekerja satu pasukan maka amanah serta tanggungjawab ini sukar dilunaskan. Justeru bagi memenuhi harapan pemimpin atasan, saya berharap semua jentera dan ahli parti perlu berkerja keras secara berjemaah bagi memulihkan imej UMNO dan merampas kembali kawasan ini pada PRN akan datang,” katanya.
Dalam hal ini, Jeffery berkata gerak kerja secara konsisten perlu diteruskan bagi mendekati rakyat, bukan sahaja ahli-ahli parti malah mereka yang berada di luar parti perlu didekati termasuklah anak-anak muda serta meneruskan khidmat bakti kepada rakyat yang memerlukan.
“Sebagaimana program hari ini iaitu santai bersama golongan belia, saya nampak kecendrungan golongan belia menyertai perjuangan UMNO begitu jelas, dan dalam hubungan ini kita sememangnya mengalu-alukan penyertaan mereka untuk menjadi ahli parti,” katanya.
Sehubungan itu, Jeffery berharap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO khususnya akan terus memainkan peranan untuk mendekati golongan muda dengan pendekatan selari aspirasi mereka agar golongan ini terus berjuang bersama UMNO bagi menentukan masa depan bangsa, agama dan negara. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid