BN Latih Generasi Muda Berpotensi Di Sekolah Politik – Ahmad Zahid
TEMERLOH, 27 Okt – Barisan Nasional (BN) akan melatih generasi muda dikenal pasti berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelapis pemimpin parti termasuk bakal calon Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) menerusi sekolah politik yang ditubuhkan di Janda Baik.
Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sekolah politik ditubuhkan di bawah Majlis Latihan dan Perkaderan UMNO itu akan melatih calon mengenai beberapa teori dan amali kepimpinan.
“(Penubuhan sekolah politik) itu telah diputuskan dalam Majlis Tertinggi dua bulan lepas. Jadi sekarang ini, kami sedang menyusun dan saya harap (Menteri Besar Pahang) Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan dapat memperincikannya dalam waktu terdekat.
“Saya harap pendekatan baharu ini, kita akan lakukan di seluruh negara dengan Datuk Seri Wan Rosdy yang mengetuai bersama-sama dengan kepimpinan sekolah politik yang akan mengadakan kursus atau latihan itu di ILMU (Institut Latihan Memperkasa Ummah, Janda Baik),” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Pahang 2024 di Dewan Tun Razak di sini hari ini, yang turut dihadiri Wan Rosdy dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ditanya sama ada sudah mempunyai senarai calon, Ahmad Zahid berkata senarai akan diminta daripada pengerusi BN negeri dan prestasi mereka dinilai sepanjang menghadiri sekolah politik berkenaan.
“Kita akan bawa senarai mereka untuk dilihat siapakah yang boleh memenangi sesuatu kerusi itu dan penerimaan para pengundi dan juga bagaimana taraf likeability atau seseorang itu disukai oleh pengundi,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapannya berkata usaha mencari dan mengenal pasti pelapis pemimpin perlu dilakukan awal dengan mengambil kira kriteria yang diangkat sebagai pemimpin kepada rakyat.
“Ini wajib dilakukan. Jangan jadi pemimpin menongkat langit. Jangan cari pandai pidato, tetapi (cari) perlu berkhidmat kepada rakyat sebab BN dan UMNO bukanlah parti waktu bermusim yang hanya datang semasa pilihan raya. Kita berkhidmat setiap masa,” katanya.
Beliau berkata, pilihan raya akan datang jangan diambil mudah dan semua parti komponen dalam BN termasuk Friends of BN perlu bekerja keras sebagai satu pasukan bagi memenangi hati pengundi termasuklah kalangan generasi muda.
“Kita juga tahu, dalam pelayaran jauh yang kita harungi sekarang, pihak seteru cuba pelbagai taktik, strategi. Kita akan berkerja sebagai satu pasukan dan anak muda harus disantuni kerana 52 peratus merupakan pengundi muda. Kebergantungan kita pada pengundi muda adalah tinggi, mereka wajib kita sayangi,” katanya. – BERNAMA