Onn Hafiz Turun Padang Saksi Projek Pelebaran Lebuhraya PLUS Senai Utara-Sedenak

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkesempatan turun padang untuk melihat sendiri projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Sedenak baru-baru ini.

Onn Hafiz berkata Fasa 1 projek pelebaran daripada empat lorong kepada enam lorong ini melibatkan jarak 21.8 kilometer telah bermula sejak pertengahan Julai dengan jumlah kos sebanyak RM525 juta dan dijadualkan siap pada Jun 2027.

Bagi Fasa 2 pula, ia melibatkan jarak sejauh 16.6 kilometer dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan jumlah kos sebanyak RM 931 juta yang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025 dan siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2028, jelasnya.

“Insya-Allah, pelaksanaan projek pelebaran ini tidak akan mengganggu aliran trafik. Dengan purata trafik harian hampir 470 ribu pengguna, saya telah meminta pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS dan semua pihak terlibat untuk memberi keutamaan kepada pengurusan pelan trafik di kawasan pelebaran dilaksanakan.

“Saya yakin projek menaik taraf ini bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti laluan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi juga akan memperkukuh jaringan pengangkutan dan menyediakan perjalanan yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna,” kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

Begitu juga tambahnya, dengan kerjasama padu daripada semua pihak yang terlibat, kerajaan negeri positif projek ini akan disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan akan membawa manfaat yang besar kepada Bangsa Johor serta rakyat Malaysia secara keseluruhan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.