Kes Najib: Semoga Keadilan Dapat Ditegakkan, Dalang Dibawa Ke Muka Pengadilan

KUALA LUMPUR, 25 Okt – UMNO dan seluruh ahli berharap agar kebenaran dan keadilan ditegakkan serta dalang utama kes SRC mahupun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dibawa ke muka pengadilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan bahawa beliau berjiwa besar sebagai pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat.

“UMNO mengikuti rapat perbicaraan kes 1MDB kini dan SRC sebelum ini terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak serta keputusan mahkamah Switzerland terhadap eksekutif PetroSaudi. Terbaharu, kenyataan media beliau bertarikh 24 Oktober 2024.

“Kenyataan tersebut membuktikan dengan jelas dan terang bahawa semangat serta jiwa besar Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin utama negara yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat di dalam apa jua keadaan.

“UMNO yakin bahawa kenyataan tersebut datangnya dari hati nurani yang suci dan tulus, menzahirkan perasaan ikhlas Datuk Seri Najib Razak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, kenyataan tersebut telah menggariskan bahawa Mohd Najib telah diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“UMNO menegaskan kenyataan itu menggariskan bahawa beliau telah diperdayakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba untuk mengambil kesempatan dan meraih keuntungan atas tipu daya tersebut.

“Tindakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang tidak terniat ini sudah tentunya menunjukkan peribadi luhur yang murni serta kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Rakyat dan Negara.

“UMNO dan seluruh ahlinya memanjatkan doa kehadrat Allah SWT agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan dalang utama yang sebenar di dalam kes SRC dan 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan, Mohd Najib memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung skandal yang melibatkan 1MDB semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, bekas Perdana Menteri itu mendakwa telah dihukum atas tanggungjawab yang dipikulnya walaupun dengan jelas beliau bukanlah dalang kepada skandal itu.

Malah tambahnya, beliau tidak pernah sekalipun bersengkongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang merupakan individu utama dalam kes tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.