Wanita UMNO Sabah Teruskan Gerak Kerja Perkukuh Parti, Siap Siaga Hadapi PRN Ke-17

KOTA KINABALU, 26 Okt – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, menegaskan bahawa kesiapsiagaan jentera Wanita UMNO perlu dipergiatkan di semua peringkat dalam usaha untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Beliau berkata, gerak kerja menyantuni pengundi adalah penting untuk memastikan kejayaan parti dalam pilihan raya yang akan datang.

“Cabaran dalam PRN ke-17 adalah berbeza berbanding PRN sebelum ini. Kita kini berhadapan dengan jumlah pengundi muda berusia 18 tahun yang makin bertambah dan akan mengundi buat kali pertama dalam Pilihanraya Negeri Sabah. Begitu juga senario semasa politik Sabah dan di peringkat nasional yang banyak berubah yang sudah tentu akan memberi kesan kepada mood pengundi.” katanya kepada UMNO-Online

Beliau menjelaskan walaupun pengundi usia 18 tahun ini telah melalui pengalaman memilih semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu namun untuk PRN situasinya adalah berbeza apatah lagi mereka merupakan generasi baharu, memiliki harapan dan keperluan yang tidak terbatas.

Oleh itu katanya, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara holistiknya perlu merancang strategi yang efektif untuk menarik perhatian dan sokongan golongan ini termasuklah penggunaan platform digital dan media sosial seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.

Begitu juga penekanan khusus terhadap isu mengenai pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, elektrik dan air yang sekian lama menjadi isu utama di Sabah.

Terdahulu beliau telah mengadakan mesyuarat bersama Ketua- ketua Wanita UMNO bahagian Sabah dalam usaha memperhalusi gerak kerja yang bakal dilaksana untuk terus menyemarakkan parti.

Dalam hal tersebut, Noraini juga menekankan bahawa kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah aspek penting yang perlu dijelaskan kepada akar umbi, terutamanya penyokong UMNO/BN.

“Kita perlu memastikan jentera di peringkat cawangan memahami dan menyampaikan mesej ini dengan jelas kepada pengundi. Kesiapsiagaan dan pemahaman tentang senario politik semasa adalah kunci untuk menarik sokongan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menyeru semua ahli untuk meningkatkan aktiviti kemasyarakatan bagi merapatkan hubungan dengan rakyat.

“Kita harus menjadi suara yang mendengar dan memahami kehendak serta keperluan masyarakat. Melalui program-program kemasyarakatan, kita dapat menunjukkan komitmen UMNO dalam memperjuangkan nasib rakyat,” ujarnya.

Dalam usaha ini, beliau juga mengingatkan semua jentera agar tidak hanya fokus kepada pilihan raya, tetapi juga untuk membina hubungan yang kukuh dengan pengundi secara akrab.

“Penting untuk kita terus menyantuni rakyat walaupun bukan kerana PRN, agar kepercayaan mereka terhadap UMNO kekal utuh,” jelasnya.

Dengan komitmen yang tinggi dan strategi yang tepat, Noraini yakin jentera Wanita UMNO Sabah akan dapat menyemarakkan semangat dan memastikan sokongan yang kukuh daripada pengundi dalam PRN ke-17, serta memperkukuhkan kedudukan UMNO di Sabah. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.