Ahmad Zahid Berbesar Hati Luang Masa Bertemu Diaspora Malaysia Di Brunei

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati menemui diaspora Malaysia yang tinggal di Brunei, sempena lawatan rasminya ke negara itu bagi menghadiri Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM), semalam.

Teruja dengan pertemuan itu, beliau yang Presiden UMNO berkata walaupun negara Brunei hanya bersempadan dengan Malaysia, namun ini merupakan kali pertama beliau dapat bertentangan mata bersama komuniti Malaysia di sini.

“Saya seperti kelaziman dalam beberapa siri lawatan ke luar negara akan meluangkan masa untuk bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di negara berkenaan. Tidak terkecuali ketika saya berada di Negara Brunei Darussalam.

“Malam tadi, saya dapat bersama diaspora yang terdiri daripada para profesional, ahli perniagaan dan pelajar Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Meriah dengan kehadiran lebih 350 orang majlis tersebut turut diserikan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan; Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus; Presiden Persatuan Warga Malaysia di Brunei, Azlan Ahmad dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Melayu Se-Malaysia, Mohd Taufik Abdul Rahim yang menyertai pertemuan tersebut.

Menambahkan lagi istimewa apabila Ahmad Zahid dapat bertemu sahabat lamanya, Ustaz Zawawi Taib, yang kali terakhir bertemu ketika berusia 17 tahun.

“Beliau telah berhijrah ke Brunei untuk mengajar di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan kekal di sana hingga bersara pada tahun 2005.

“Saya doakan Ustaz Zawawi dan seluruh diaspora Malaysia di Brunei sentiasa diberi kesihatan yang baik dan terus memberi sumbangan kepada masyarakat di sini.

“Meskipun mereka selesa menetap di sini, namun kerinduan terhadap tanah air dan hidangan seperti mee goreng mamak, roti canai dan lontong pasti tetap dirasai.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan atas penganjuran majlis makan malam tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.