Forum 50 Tahun Malaysia-China: Malaysia Perlu Kekal Neutral Tanpa Korban Kedaulatan – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Malaysia perlu kekal neutral tanpa mengorbankan kedaulatan dan kepentingan nasional meskipun berdepan dengan pertembungan geopolitik serta geo-ekonomi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menghadiri Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Rabu.
“Bersempena dengan 50 tahun hubungan Malaysia-China, satu tempoh yang cukup signifikan dan menjadi bukti kepada kekuatan, kepercayaan, dan kerjasama yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak setengah abad yang lalu.
“Tahun 1974 menyaksikan saat penting apabila Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Tun Abdul Razak, telah membuat keputusan penuh visi dengan menjalin hubungan rasmi antara Malaysia dan China. Ini menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara yang membentuk hubungan diplomatik dengan China.
“Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China anjuran UUM yang berlangsung semalam merupakan satu signifikan bagi menjelaskan hubungan diplomatik yang wujud antara kedua-dua negara sehingga ke tahap ‘people to people’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, forum tersebut telah mengupas secara akademik merangkumi sejarah kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, pendidikan, budaya dan juga ketersalinghubungan antara kedua-dua pemimpin.
“Dalam ucapan saya menegaskan isu-isu geopolitik marcapada, dan bagaimana kedua-dua negara boleh terus memanfaatkan kerjasama ini untuk masa depan yang lebih cemerlang.
“Dunia hari ini bukan kita berbicara soal satu kuasa sahaja malah kerjasama yang wujud juga bagi mengimbangi kuasa-kuasa sedia ada agar dunia boleh berlaku adil pada pihak-pihak lain.
“Hari ini kita bukan lagi berdepan dengan pertembungan ideologi seperti dahulu, tetapi kita kini melihat pertembungan dari segi geopolitik dan geo-ekonomi. Dalam hal ini, Malaysia perlu kekal neutral, tanpa mengorbankan kedaulatan dan kepentingan nasional,” katanya.
Jelasnya, Malaysia mahu mewujudkan kerjasama dengan seberapa banyak pihak yang secara tidak langsung akan membawa keuntungan kepada kedua-dua negara.
“Ada yang kata apabila kita terlalu baik dengan China, ideologi pemikiran komunis akan diserap masuk dalam negara. Walhal inilah yang dinamakan dinamika hubungan diplomatik.
“Kita mahu mewujudkan kerjasama dengan seberapa banyak pihak dan sudah pasti ia akan memberi keuntungan serta manfaat kepada kedua-dua pihak. Apa yang paling utama ialah kita akan terus mengekalkan kedaulatan negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada UUM atas penganjuran forum ini. Dibarisi oleh ahli panel pakar dan berpengalaman iaitu Penasihat Kehormat Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, Beijing Foreign Studies, Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan; Ketua Pegawai Eksekutif, Taman Teknologi Malaysia (MRANTI), Datuk Wira Dr Rais Hussin; dan Pengarah Institut Kajian China, Universiti Malaya, Dr. Ling Tek Soon. Segala isi perbincangan sangat memberi manfaat kepada mereka yang hadir,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar hubungan Malaysia-China akan terus kekal utuh dalam pelbagai sektor dan cabang.
“Hubungan kita dengan China mesti terus berlandaskan kepentingan bersama dan persahabatan yang ikhlas. Kita tidak boleh membina hubungan berdasarkan konfrontasi, tetapi melalui dialog yang matang dan ikhlas.
“Forum seperti ini menjadi satu titik tolak penting dalam membina masa depan kerjasama yang lebih kukuh dan saling menguntungkan. Semoga hubungan Malaysia-China akan terus kekal utuh dalam pelbagai sektor dan cabang,” katanya lagi. – UMNO Online