Isu Harga Tiket Penerbangan Mahal Antara Sabah Ke Semenanjung Malaysia, Bung Moktar Gesa Kerajaan Kawal

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Isu tiket penerbangan antara Sabah ke Semenanjung Malaysia yang disifatkan terlalu tinggi berbangkit semula di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat semalam turut menyentuh isu ini.

Beliau melahirkan kebimbangan mengenai kos tinggi penerbangan dari Sabah ke Semenanjung Malaysia sehingga membebankan rakyat yang melancong dan untuk tujuan perniagaan termasuklah pelajar yang menuntut di Semenanjung Malaysia.

“Harga tiket penerangan ini jika dibandingkan lebih murah untuk penerbangan ke luar negara berbanding dari Sabah ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, harga tiket ke Singapura dan Filipina, adalah sekitar RM700; ke Indonesia RM600, tetapi ke Sabah RM1,700 yang dianggap keterlaluan dan membebankan rakyat untuk berulang-alik antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, Bung Moktar menggesa Menteri Pengangkutan Anthony Loke menangani isu ini, sambil menekankan beban yang ditanggung rakyat Sabah.

“Ini belum memasuki hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan tahun baru mungkin harganya melambung lebih tinggi dari sekarang.

“Isu ini bukan isu baharu malah saya banyak kali membawa isu ini dalam pesidangan Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya.

Bulan lalu, Anthony Loke berkata bahawa kerajaan akan meneruskan dua inisiatif subsidi untuk pembelian tiket penerbangan domestik bagi membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Inisiatif ini termasuk subsidi berterusan untuk pelajar institusi pengajian tinggi yang menggunakan laluan domestik (FLYsiswa) dan dasar had harga untuk penerbangan semasa musim perayaan.

Pada Disember tahun lalu, kabinet meluluskan cadangan untuk mensubsidi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala melebihi RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan semasa cuti Krismas.

Polisi ini juga akan digunakan untuk musim perayaan lain, seperti Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai, selama tiga hari setiap satu. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.