Lawatan Kerja: Ahmad Zahid Hadir Majlis Makan Malam Rakan ASEAN, Sesi Dialog
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir ke majlis makan malam bersama rakan ASEAN dan sesi dialog sempena lawatan kerjanya ke Brunei, pada Rabu.
Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa majlis tersebut turut disertai oleh rakan-rakan pemimpin ASEAN dari China, Jepun dan Korea.
“Malam tadi, saya bersama rakan-rakan pemimpin ASEAN dan rakan Dialog ASEAN dari China, Jepun dan Korea dirai dalam majlis makan malam sempena 12th ASEAN Ministerial Meeting on Disaster Management (AMMDM) dalam suasana yang muhibah dan meriah.
“Majlis Makan Malam ini dihoskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei selaku Pengerusi AMMDN ke-12, Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat rasmi akan berlangsung dalam keadaan serius memandangkan negara-negara yang hadir telah berbincang mengenai situasi bencana yang berlaku.
“Bertemu rakan-rakan seperjuangan yang sudah lama tidak bersua juga menjadi momen yang cukup bermakna.
“Malah, walaupun mesyuarat masih belum bermula, masing-masing sudah mula membuka bicara mengenai keadaan semasa di negara masing-masing tentang bencana yang berlaku dan pendekatan yang telah diambil. Pastinya semasa mesyuarat rasmi hari ini akan lebih serius.
“Jadual hari ini agak padat dengan majlis perasmian yang akan berlangsung serentak dan diikuti dengan AMMDM ke-12 serta mesyuarat bersama rakan dialog ASEAN. Terus ikuti perkembangan lawatan saya dari masa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar AMMDM ke-12 dapat memperkukuh hubungan serantau dan membentuk negara berdaya tahan menguruskan risiko serta bencana.
“Semoga mesyuarat yang akan berlangsung dapat memperkukuhkan hubungan serantau dan dapatan daripada mesyuarat ini akan menjadi satu langkah ke hadapan untuk ASEAN umumnya lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi risiko sekaligus mampu mengurus bencana degan baik,” katanya. – UMNO Online