Penyelarasan Subsidi RON95 Perlu Pertimbangan Teliti – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Penyelarasan subsidi RON95 tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap kesannya kepada rakyat.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau menyokong penyelarasan subsidi tersebut dilakukan untuk menjamin kelestarian kewangan negara bagi jangka masa panjang.

“Saya ingin mulakan perbahasan saya dengan menyentuh soal penyelarasan subsidi RON95 yang disebutkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan belanjawan minggu lalu. Isu penyelarasan subsidi ini menjadi antara topik perbincangan hangat di semua platform media sosial pasca-pembentangan bajet.

“Saya secara peribadi menyokong untuk dilakukan penyelarasan subsidi ini bagi menjamin kelestarian kewangan negara untuk jangka masa panjang. Penyelarasan subsidi ini tidak boleh dibuat tergesa-gesa, drastik dan tanpa pertimbangan yang teliti kesan secara langsung atau tidak langsung kepada rakyat.

“Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau menyebutkan bahawa warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion ringgit. Untuk warga asing kita tidak ada masalah, mereka memang tidak layak untuk menerima sebarang subsidi daripada kerajaan, tapi saya ingin tumpukan lebih kepada golongan T15 ini,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berharap agar pengkelasan tingkat ekonomi rakyat akan diambil kira dari semua faktor dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan isu rumah semata.

“Sebelum ini kita sudah terbiasa dengan istilah B40, M40, T20. Istilah T15 ini adalah satu istilah yang baharu digunakan oleh pihak kerajaan. Respon awal daripada Menteri Ekonomi juga ada menyebut bahawa pengkelasan kategori T15 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi kerajaan adil kepada semua pihak.

“Saya amat berharap agar pengkelasan ini nanti akan mengambil kira semua faktor dan bukan sekadar pendapatan isi rumah sahaja. Faktor-faktor yang diambil kira itu nanti janganlah terlalu berada di ‘borderline’, biarlah ianya bersesuaian dengan keadaan semasa dan unjuran keadaan ekonomi pada masa akan datang.

“Saya berharap agar pihak kerajaan mengkaji sedalam-dalamnya kaedah yang bakal digunakan untuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 ini kelak. Adakah pihak kerajaan akan menggunapakai kaedah yang sama dengan kaedah pengapungan diesel pada ketika ini?” soalnya.

Tegasnya, sekiranya penyelarasan subsidi RON95 ini tidak dibuat dengan teliti, jumlah individu yang terkesan adalah jauh lebih tinggi daripada diesel.

“Merujuk kepada laporan Statistik Pengangkutan Malaysia tahun 2023, jumlah terkumpul kenderaan bermotor sehingga 2023 adalah sebanyak 36.3 juta unit di mana motokar (17.4 juta) dan motosikal (16.9 juta) merupakan jenis kenderaan yang tertinggi.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 23.8 juta kenderaan masih mempunyai lesen kenderaan bermotor atau cukai jalan yang aktif; manakala 12.5 juta kenderaan tidak aktif tanpa sebarang cukai jalan.

“Majoriti kenderaan yang ada ini adalah pengguna petrol, dan jika penyelarasan subsidi RON95 ini tidak dibuat dengan teliti, jumlah individu yang terkesan adalah sangat-sangat tinggi, tidak seperti diesel tempoh hari,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengakui bahawa kesan domino mungkin akan wujud terhadap harga barang dan perkhidmatan apabila penyelarasan subsidi petrol dilaksanakan.

“Walaupun majoriti kenderaan pengangkutan barangan di Malaysia adalah berenjin diesel, kita tidak boleh menafikan kesan domino yang mungkin akan wujud terhadap harga barang dan perkhidmatan apabila penyelarasan subsidi petrol ini dibuat kelak.

“Jangan sampai kita hendak menarik semula subsidi daripada 15 peratus rakyat, 85 peratus rakyat yang lain akan menerima kesan buruknya sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.