Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara: Kerajaan Galak Pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kerajaan menggalakkan pelaksanaan dasar teknologi hijau dan penggunaan tenaga baharu dalam operasi data untuk mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 seperti yang terkandung di dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bersepadu untuk memastikan bahawa penggunaan air dan tenaga bagi pusat-pusat data mematuhi piawai kemampanan.

“MITI amat menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh baharu, peralatan cekap tenaga dan air untuk memastikan semua pusat data di Malaysia beroperasi dengan efisien dan mampan… di samping memastikan keterjaminan bekalan elektrik dan air negara dikawal serta digunakan secara efektif.

“Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bersepadu untuk memastikan bahawa penggunaan air dan tenaga bagi pusat-pusat data mematuhi piawai kemampanan merangkumi pembangunan Garis Panduan Pembangunan Mampan bagi Pusat Data, penggunaan tenaga boleh baharu dan Program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat.

“Beberapa sesi libat urus dengan pelbagai agensi Kerajaan dan pemain industri pusat data di Malaysia telah dilaksanakan oleh kerajaan melalui kementerian untuk membangunkan Garis Panduan Pembangunan Mampan bagi Pusat Data,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, garis panduan tersebutmerangkumi metrik Power Usage Effectiveness (PUE) dan Water Usage Effectiveness (WUE) bagi mengukur kecekapan penggunaan tenaga dan air.

“Selain itu, untuk memastikan pembangunan pusat data yang mampan secara menyeluruh, garis panduan ini turut menetapkan metrik bagi Carbon Usage Effectiveness (CUE) untuk mengukur pelepasan karbon oleh pusat data.

“Garis Panduan berkenaan sedang dimuktamadkan dan ianya akan dijadikan sebagai salah satu syarat untuk permohonan insentif bagi pelaburan pusat data kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) turut dilaksanakan untuk memudahkan akses operator pusat data kepada sumber tenaga boleh baharu yang dijana oleh pihak ketiga.

“Kerajaan juga menggalakkan pelaksanaan dasar teknologi hijau dan penggunaan tenaga boleh baharu dalam operasi pusat data bagi mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 seperti yang terkandung di dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“CRESS turut dilaksanakan bagi memudahkan akses operator pusat data kepada sumber tenaga boleh baharu yang dijana oleh pihak ketiga (third party access – TPA).

“CRESS akan memudah dan membolehkan lebih banyak pusat data memanfaat dari tenaga boleh baharu dan menjadikan kos operasi pusat data lebih kompetitif dalam jangka masa panjang,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.