Isu Laut China Selatan: Malaysia Komited Selesaikan Secara Konstruktif, Guna Saluran Bersesuaian

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Malaysia komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai, kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Tegasnya, pendirian Malaysia berhubung isu Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten maka semua pertikaian perlulah berdasarkan undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada isu di Laut China Selatan. Seperti yang telah dijelaskan oleh kementerian ini berulang kali, saya sekali lagi ingin menekankan bahawa pendirian Malaysia berhubung isu di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten.

“Semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan mestilah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang–Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982, atau United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 (UNCLOS 1982).

“Negara-negara ASEAN dan China juga telah memeterai Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November 2002. Ini merupakan antara usaha serantau untuk memastikan keamanan dan kestabilan bagi mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, negara-negara ASEAN dan China sedang berunding untuk mengelakkan sebarang konflik di Laut China Selatan.

“Selaras dengan persefahaman di bawah DOC ini, negara-negara ASEAN telah mengambil pendekatan, ‘self-restraint’ dengan memastikan tindakan-tindakan yang diambil dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Laut China Selatan tidak akan meningkatkan ketegangan di lapangan.

“Buat masa ini, negara-negara ASEAN dan China sedang merundingkan Code of Conduct in the South China Sea (COC). COC dilihat sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan. Ianya adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.

“Rundingan COC tersebut dilaksanakan oleh Negara-Negara Anggota ASEAN dan China menerusi platform ASEANChina Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWGDOC), ASEAN-China Senior Officials Meeting on the Implementation of the DOC (SOM-DOC), berdasarkan satu, Single Draft Negotiating Text (SDNT) COC yang digunakan sebagai asas rundingan,” katanya lagi.

Menurutnya, Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga (3) tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.

“Untuk tahun 2024, rundingan COC diadakan sebanyak empat (4) kali iaitu di Bali, Indonesia pada bulan Mac 2024; Bangkok, Thailand pada bulan Mei 2024; dan yang terkini telah diadakan di Xi’an, China, pada bulan September 2024. Satu lagi pusingan rundingan COC ini akan diadakan di Vientiane, Laos pada bulan November 2024.

“Sebagai Negara Penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf COC. Dalam hubungan ini, Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini akan menjadi satu
dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.

“Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan untuk memastikan hak kedaulatan negara terpelihara.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

“Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.