PRN Sabah: Kerjasama BN-PH Untuk Transformasi Kemiskinan

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang adalah bagi mewujudkan satu kerajaan baharu yang mampu mengeluarkan Sabah daripada terus berada di antara negeri termundur di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu diambil berdasarkan keperluan untuk mencapai kesefahaman di peringkat Persekutuan dan negeri dalam usaha membangunkan Sabah.

Menurutnya, Sabah masih dibelenggu kemiskinan yang berlarutan sekian lama, dengan lapan daerah termiskin termasuk Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, dan Lahad Datu.

“Pada pandangan saya, penting bagi Sabah untuk melaksanakan transformasi baharu yang benar-benar dapat mengubah status negeri ini daripada kemunduran.

“PRN akan datang pasti menarik, dan di sinilah kita mungkin melihat pembentukan kerajaan baharu yang fokus untuk mengeluarkan Sabah daripada kemelut kemiskinan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen di sini.

Bung Moktar menjelaskan bahawa perbincangan bagi membentuk dan memperkukuh kerjasama antara BN dan PH sentiasa diadakan di peringkat pucuk pimpinan parti untuk memastikan persiapan awal menghadapi PRN dapat digerakkan secara bersama.

“Langkah ini bertujuan memastikan Sabah mendapat sebuah kerajaan yang kukuh dan mampu mendukung aspirasi rakyat dalam usaha membangunkan negeri,” katanya.

Pada September lepas, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bahawa UMNO telah memutuskan untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah dan menyatakan bahawa BN Sabah bersetuju untuk mengikuti formula kerjasama yang diamalkan di peringkat Persekutuan dan memperluaskannya ke Negeri di Bawah Bayu.

Bagaimanapun Bung Moktar menegaskan bahawa UMNO dan BN Sabah tetap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas mengenai desas-desus bahawa terdapat individu lain yang cuba ‘mencantas’ kedudukannya dalam menerajui UMNO dan BN Sabah, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyifatkan perkara itu sebagai lumrah dalam dunia politik.

“Sudah tentu terdapat banyak cubaan untuk menggulingkan saya, tetapi saya percaya kita perlu fokus pada melakukan kerja dengan baik.

“Misi saya adalah untuk memperkukuh parti; jika UMNO Sabah kuat, pasti ramai pihak lain yang ingin bekerjasama. Namun, jika lemah, siapa yang akan berminat?’ katanya.” – Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.