DSN 2030 Beri Fokus Kepada Pembangunan Manusia, Sistem Sosial – Noraini

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 memberi fokus kepada pembangunan manusia dan sistem sosial untuk mencapai sebuah masyarakat yang berdaya tahan, progresif, bertanggungjawab, prihatin, beretika serta mempunyai jati diri yang utuh.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan bahawa beliau telah menghadiri Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 3 bagi Tahun 2024 pada Isnin.

“Saya telah menghadiri Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 3 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh lapan menteri, enam timbalan menteri dan ketua-ketua agensi serta jabatan yang memegang portfolio sosial.

“Dua isu utama telah dibincangkan iaitu penambahbaikan pengurusan banduan rentan dan usaha kerajaan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian.

“Melalui MSN, isu-isu sosial dapat dibincangkan secara aktif dan berkesan menerusi kerjasama ‘whole of nation’. Platform MSN juga berperanan selaku jentera pelaksana DSN 2030 dengan memantau pencapaian pelan tindakannya untuk mencapai Ekonomi Madani,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia telah hadir ke Majlis Peluncuran DSN 2030 yang membawa hasrat untuk membangunkan rakyat Malaysia dengan memegang erat nilai-nilai murni sebagai asas kehidupan sejurus selepas itu.

“Selepas mesyuarat, saya menghadiri Majlis Peluncuran DSN 2030 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Peluncuran ini adalah sebagai kesinambungan kepada DSN yang pertama.

“DSN 2030 ini merupakan dasar payung yang berhasrat untuk membangunkan rakyat Malaysia dengan memegang erat nilai-nilai murni sebagai asas kehidupan. Ia memfokuskan kepada pembangunan manusia dan sistem sosial untuk mencapai sebuah masyarakat berdaya tahan, progresif, bertanggungjawab, prihatin, beretika serta mempunyai jati diri yang utuh.

“DSN 2030 menjajarkan 44 dasar sosial utama daripada 19 Kementerian berportfolio sosial untuk mencapai matlamat Malaysia Madani. Sasaran DSN 2030 adalah untuk mencapai matlamat Ekonomi Madani iaitu tangga ke-25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah serta meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita ke 60 peratus,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa forum ‘Memperkukuhkan Kesejahteraan Sosial’ telah diadakan sempena majlis peluncuran tersebut dan ia dihadiri oleh 600 orang.

“Di samping itu, satu forum ‘Memperkukuhkan Kesejahteraan Sosial’ juga telah diadakan sempena Majlis Peluncuran DSN 2030. Forum ini telah membincangkan bagaimana keempat-empat teras DSN 2030 iaitu Keperluan Asas, Potensi Diri, Sistem Sokongan Sosial dan Tanggungjawab Sosial menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat Malaysia.

“Majlis dan forum in telah dihadiri oleh 600 orang yang terdiri daripada Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi berportfolio sosial dengan pegawai kanan Kerajaan, ahli Universiti dan ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.