Program Peduli Rakyat Dapat Reaksi Sangat Positif Daripada Rakyat Labuan

LABUAN, 22 Okt – Sejak Mac 2023 Program Peduli Rakyat UMNO Bahagian Labuan telah memberi manfaat kepada lebih dua ratus penerima tanpa mengira kaum, menerima sumbangan bantuan beras untuk majlis kenduri dan ia melibatkan sejumlah lebih 20 tan beras sehingga kini.

Program Peduli Rakyat, hasil cetusan dan inisiatif Datuk Mohd Rafi Alli Hassan ketika menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan bermula tempoh tersebut mendapat reaksi yang sangat positif daripada rakyat di pulau itu.

“UMNO Bahagian Labuan memberi sumbangan 100 kilogram (kg) beras kepada siapa sahaja yang mahu melangsungkan perkahwinan sama ada orang Melayu, orang Cina, orang Kadazan dan sebagainya.

“Sudah lebih kurang 18 bulan kita laksanakan program ini yang melibatkan lebih 200 keluarga yang telah menerima sumbangan beras 100 kg untuk setiap penerima daripada UMNO Bahagian Labuan.

“Saya amat suka program ini kerana kita dapat membantu masyarakat, meringankan perbelanjaan mereka dan respon daripada rakyat sangat positif terutama anak-anak muda yang akan melangsungkan perkahwinan kerana kita dapat membantu keluarga mereka yang mengeluarkan perbelanjaan,” katanya kepada UMNO Online.

Petang Sabtu lalu, kru UMNO Online berpeluang menyertai Mohd Rafi bersama Ahli Jawatankuasanya melaksanakan program mingguan itu di beberapa buah kampung di sekitar bahagian utara pulau, antaranya di Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Labu dan Kampung Lubuk Temiang.

Walaupun dalam cuaca hujan, Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersama rombongan menaiki van Toyota Hiace tetap komited menjalankan aktiviti memberi sumbangan beras kepada lima orang penerima.

Program Peduli Rakyat merupakan satu inisiatif bantuan memberi sejumlah 100 kg beras kepada setiap keluarga yang mahu melangsungkan majlis perkahwinan dan tidak ketinggalan kepada keluarga yang kematian orang tersayang dengan 50 kg beras, manakala bekalan diperolehi daripada berlainan pasaraya dan pembekal di seluruh Labuan.

Jelas Mohd Rafi, Program Peduli Rakyat itu secara tidak langsung juga akan memperkasakan UMNO lagi khususnya di peringkat Cawangan.

“Program ini juga memartabatkan Ketua-ketua UMNO Cawangan di Labuan kerana siapa sahaja yang mahu melaksanakan kenduri perkahwinan boleh berhubung terus dengan mereka.

“Ketua UMNO Cawangan itu yang akan menyampaikan sumbangan beras 100 kg kepada semua penerima. Selain majlis perkahwinan, bantuan juga diberikan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dengan 50 kg beras kepada setiap keluarga dan mereka boleh gunakan untuk membuat kenduri arwah,” katanya.

Tambah Mohd Rafi lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 di kerusi Parlimen Labuan perlu aktif supaya kembali mendapat tempat di hati rakyat.

“Alhamdulillah, tujuan saya memperkenalkan Program Peduli Rakyat ini kerana kita maklum UMNO dan Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dan misi saya mahu meletakkan semula UMNO itu di hati rakyat Labuan.

“Dengan Program Peduli Rakyat ini setiap minggu turun bertemu rakyat dan mahu letakkan semula UMNO di hati mereka, respon sangat positif dan saya terharu,” katanya.

Seterusnya, Mohd Rafi melahirkan perasaan syukur dan terima kasih kerana mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak dalam parti, baik di peringkat bahagian, sayap mahupun di peringkat cawangan.

“Terima kasih khususnya kepada seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Labuan daripada peringkat Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua-ketua UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang mengambil tanggungjawab ini melaksanakan Program Peduli Rakyat dengan sehabis baik.

“…tanpa mengira musim cuti sekolah, hampir setiap minggu ada majlis perkahwinan dan program ini pula saya pecahkan kepada empat kumpulan, iaitu minggu pertama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, minggu kedua Wanita, minggu ketiga Pemuda dan minggu keempat Puteri.

“Setiap peringkat sayap akan ada program bulanan bertemu dengan masyarakat,” ujarnya yang juga menghargai Sekretariat Kebajikan UMNO Bahagian Labuan yang komited melaksanakan tugas dengan baik.

Terdahulu pada sebelah pagi, Mohd Rafi selaku Pengerusi Penasihat GIATMARA Wilayah Persekutuan Labuan merasmikan Bengkel Kecemerlangan Kepimpinan dan Kesedaran Sivik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Labuan di Kampung Pantai, di sini.

Jadual yang padat Mohd Rafi pada hujung minggu juga dipenuhi dengan kunjungan hormat daripada anak-anak muda pelopor kelab motorsikal kawasan itu yang akan menganjurkan himpunan motorsikal antarabangsa ‘Labuan International Bike Week’ di Dataran Labuan pada 1 hingga 3 November nanti. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.