UMNO Perkukuh Agenda Islam Melalui Sistem Pendidikan Negara – Dusuki Ahmad
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad berkata peranan penting pendidikan agama dalam membentuk sahsiah dan nilai moral pelajar yang dicetuskan oleh kepimpinan UMNO semasa berkerajaan telah melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab dan beretika.
Menurut beliau, Perlembagaan negara, wadah dan agenda Islam yang diperjuangkan oleh pimpinan UMNO telah memberikan kedudukan yang kukuh terutamanya Islam di negara ini.
“Alhamdulillah… kita dapat lihat pelajar diwajibkan mengambil pendidikan agama, malah semua sekolah di negara ini menawarkan mata pelajaran Islam dan kesannya jelas kelihatan di seluruh negara. Siapakah yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan ini? Sudah pasti ia adalah hasil usaha pimpinan UMNO yang melakukan dan kita perlu menerima hakikat dan kenyataan ini.
“Sekarang ini harus diperkukuhkan lagi pendidikan agama serta menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran di Timur Tengah setiap tahun dan tidak kurang dari 10,000 ribu pelajar dihantar menuntut di sana. Sekiranya hendak menafikan apa yang pemimpin UMNO lakukan sebelum dan hari ini, maka penafian itu amat tidak benar.
“Ini semua adalah ‘minhaj’ yang diatur susun oleh pemimpin-pemimpin UMNO, setiap tahun pada persidangan parti, akar umbi telah mengeluarkan pelbagai idea dan tujuannya adalah untuk pengukuhan orang Melayu dan Islam,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Dusuki yang juga bekas Ahli Parlimen Tumpat berkata pencapaian ini adalah hasil daripada penggunaan kuasa politik untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berilmu.
“Kekuatan dan kejayaan pemimpin UMNO sebelum ini dapat mewujudkan golongan menengah dan profesional paling ramai berbanding golongan rendah. UMNO gunakan kuasa politik untuk melahirkan rakyat berilmu,” katanya.
Seterusnya kata Dusuki lagi, UMNO juga aktif memperkukuhkan peranan institusi Islam di negara ini dengan menyokong usaha-usaha pendidikan, pembangunan sosial, dan ekonomi yang berlandaskan syariat.
“Melalui program-program yang dijalankan, UMNO berusaha memastikan kesejahteraan umat Islam serta memastikan Islam terus menjadi landasan utama dalam pembangunan negara.
“UMNO turut memperjuangkan perundangan syariah agar terus dihormati dan dilaksanakan dengan baik, selari dengan Perlembagaan negara,” ujarnya.
Ujarnya lagi, UMNO komited dalam mempertahankan kedudukan dan kesatuan umat Islam agar kekuatan politik Islam tidak terjejas, khususnya dalam menghadapi cabaran globalisasi dan ancaman ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam. – UMNO Online