Kerajaan Negeri Melaka Cakna Kebajikan Rakyat, Agih Sumbangan Deepavali

MASJID TANAH, 21 Okt – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, telah meraikan seramai 175 penerima sumbangan sempena program Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali Tahun 2024 yang diadakan di sini.

Maklumnya, sumbangan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Melaka sebanyak RM200,000, yang akan memberi manfaat kepada 1,000 orang penerima dari seluruh parlimen negeri Melaka.

“Ini adalah langkah kami untuk memastikan semua lapisan masyarakat, terutama yang kurang bernasib baik, mendapat perhatian dan sokongan yang diperlukan,” katanya dipetik menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ujarnya, program ini dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka (JKM) dan SWM Environment Sdn Bhd.

Beliau menekankan bahawa pentadbiran kerajaan negeri sentiasa mendengar keluh kesah dan denyut nadi rakyat.

“Kami cakna dengan segala aduan dan masalah yang membelenggu rakyat, termasuk anak yatim, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal, dan golongan yang kurang berkemampuan,” tambahnya.

Ab Rauf berharap agar sumbangan yang disalurkan dapat menceriakan penerima dalam membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali yang bakal tiba pada 31 Oktober 2024.

“Besar harapan saya agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberikan keceriaan kepada semua yang diraikan pada hari ini,” ujarnya.

Katanya, Kerajaan Negeri Melaka terus komited untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada semua golongan, dengan harapan agar kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh beberapa pemimpin negeri, termasuk Ketua Menteri Melaka Ke-12 merangkap ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin; EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Melaka, Datuk VP Shanmugam; serta EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Basheer. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.