Tengku Zafrul Lakukan Ziarah Kasih, Semai Semangat Perpaduan Dalam Komuniti

KOTA RAJA, 21 Okt – Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengadakan ziarah kasih bagi memperkukuhkan ukhuwah dan solidariti dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memaklumkan bahawa program ini melibatkan beberapa kunjungan ke rumah individu yang memerlukan sokongan dan perhatian lantas menonjolkan komitmen parti terhadap kesejahteraan rakyat.

Dalam kunjungan di rumah pertama pada Sabtu, Tengku Zafrul menziarahi Hajah Normah yang baru kehilangan suaminya. Dalam lawatan tersebut, beliau mendoakan agar arwah ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.

Tengku Zafrul juga meluangkan masa untuk menziarahi Puan Hatiah @ Hafisah, seorang veteran UMNO yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Batu Unjur. Kehadiran beliau memberi semangat kepada Puan Hatiah, yang kini melihat cucunya, Siti Nurafiqah Ismail, mengikut jejak langkahnya dalam Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Raja.

Seterusnya, beliau turut melawat Nur Afiqah Haiyoon, kerani pentadbiran di Pejabat Bahagian UMNO Kota Raja, yang baru sahaja melahirkan anak ketiga. Beliau dimaklumkan tentang keadaan bayi pra-matang, Nur Ayleen Raudhah Mahzar Rezza, yang sedang menerima rawatan di NICU HTAR Klang.

“Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan dan diperluas untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, sebagai menghargai semangat kebersamaan, Tengku Zafrul juga menyertai Karnival Sukan Surau An Nur di Bandar Puteri Klang yang telah berlangsung selama tiga hari ini malah berjaya menarik lebih lebih 300 peserta dari empat kawasan perumahan setempat.

Ujarnya, pelbagai aktiviti sukan telah dirancang untuk memupuk semangat kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan penduduk malah kehadirannya juga menggambarkan sokongan beliau terhadap inisiatif yang menggalakkan gaya hidup sihat dan perpaduan komuniti.

Setelah selesai di karnival, Tengku Zafrul meneruskan program dengan sarapan pagi dan sumbangan bakul makanan di Sri Andalas iaitu melibatkan kerjasama antara UMNO Bahagian Kota Raja, Kelab Rukun Tetangga, dan Kelab Pesara Kota Raja.

“Acara ini bukan sahaja menyediakan makanan kepada yang memerlukan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat,” katanya.

Di Dewan MBSA Sungai Kandis, Tengku Zafrul juga turut mengambil bahagian dalam program penyerahan bakul makanan anjuran UMNO Bahagian Kota Raja dan JPKKP Kampung Sungai Kandis.

Program ini dihadiri oleh hampir 130 penerima, termasuk ibu tunggal, individu kurang upaya (OKU), dan pesara termasuk kehadiran mantan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari yang menambah kemeriahan program ini.

Tengku Zafrul bertekad untuk melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat di Kota Raja pada masa akan datang, demi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.