Belanjawan 2025 Bukti Kerajaan Sentiasa Prihatin Kepada Pembangunan Sabah, Sarawak – Mohd Rafi

LABUAN, 19 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, pengumuman Budget 2025 yang di buat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sudah semestikan membawa impak yang positif kepada Negeri Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM6.7 bilion untuk Sabah dan RM5.9 bilion untuk Sarawak.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, ini telah menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan infrastruktur dan keperluan asas rakyat yang agak ketinggalan jika di bandingkan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Saya harap segala peruntukan yang diberikan ini dapat menyelesaikan keperluan-keperluan mendesak yang telah menyusahkan rakyat sejak dulu lagi terutama sekali jalan raya dan masalah air yang agak kritikal di Negeri Sabah.

“Kita sebagai rakyat di Borneo perlu sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa prihatin dan melihat kita secara dekat walaupun kita dipisahkan dengan Laut China Selatan,” katanya kepada UMNO Online mengulas berkaitan belanjawan 2025, semalam.

Mohd Rafi juga berharap peruntukan khusus juga diberikan kepada Wilayah Persekutuan Labuan bagi menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat.

“Ini khususnya air dan eletrik yang masih berterusan sehingga kini dan peruntukan RM300 juta yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam belanjawan tahun lepas belum dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya harap Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi kerajaan yang lain terus bersuara dan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membawa projek-projek baru untuk Labuan dan rakyatnya,” katanya lagi.

Menerusi Belanjawan 2025, dilaporkan bahawa peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dalam Belanjawan 2025 dan yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion ringgit. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.