Belanjawan 2025: Sabah Perlu Peruntukan Besar Atasi Masalah Kemudahan Asas Kritikal – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 18 Okt – Seperti tahun-tahun sebelumnya, sudah tentu rakyat Sabah mengharapkan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan membawa khabar gembira untuk rakyat di negeri ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkeyakinan kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri akan dapat menyelami hasrat rakyat Sabah yang mahukan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pembangunan negeri ini menerusi belanjawan kali ini.

Menurut beliau, sudah tentu aspirasi rakyat Sabah ini didorong dengan keinginan yang tinggi bagi melihat kemajuan dan kemakmuran dapat dikongsi dan dirasai bersama setanding kemajuan yang ada di lain-lain negeri.

“Harapan kita, rakyat Sabah, Bajet 2025 kali diagihkan dengan cukup bagi memastikan pembangunan mampan dan seimbang khususnya di luar bandar di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan beliau dan rakyat Sabah terhadap Belanjawan 2025.

Menurut Bung harapan bagi Sabah untuk meraih peruntukan yang lebih tinggi dalam berbanding yang diterima dalam Bajet 2024 iaitu sebanyak RM6.6 bilion berdasarkan kepada keperluan mendesak terutamanya dalam membangunkan insfrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, perparitan, telekomunikasi, bekalan air dan elektrik di negeri ini yang agak kritikal ketika ini.

“Seperti yang diketahui umum, isu-isu insfrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik merupakan isu kritikal yang menghantui kehidupan rakyat Sabah hampir di seluruh daerah.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri masih gagal menanganinya walaupun diuar-uarkan kerajaan mempunyai rizab simpanan melebihi RM6.78 bilion tetapi belum ada penyelesaian tuntas bagi mengatasi masalah ini.

“Justeru harapan kita, melalui peruntukan yang besar dalam Bajet 2025 kali ini, kita berharap ianya dapat membantu mempercepatkan tindakan menyelesaikan keperluan insfrastruktur asas demi keselesaan rakyat,” katanya.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata dengan peruntukan kewangan yang mencukupi akan dapat membantu kerajaan khususnya kementerian atau jabatan yang terlibat melaksanakan langkah-langkah proaktif membangunkan kawasan luar bandar yang sekali gus boleh memanfaatkan potensi ekonomi rakyat.

“Kesemuanya bertujuan meningkatkan kualiti rakyat kita dan pada masa yang sama menarik pelaburan lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu Bung juga berharap Bajet 2025 kali ini dapat menyediakan peruntukan yang tinggi dalam sektor pendidikan kerana Sabah amat memerlukannya untuk membina atau menaik taraf sekolah-sekolah daif khususnya di luar bandar di samping meningkatkan kemudahan asas bagi memastikan guru-guru dan para pelajar dapat menikmati kemudahan yang lebih kondusif.

“Ini sudah tentu dapat memberikan anjakan bagi pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.”

Turut menjadi harapan dalam Bajet 2025 kali ini katanya ialah agar kerajaan dapat memberikan keutamaan kepada kediaman rakyat bagi projek penyediaan Rumah Mampu Milik dan Mesra Rakyat atau projek Program Perumahan Rakyat (PPR) kerana ia merupakan keperluan utama rakyat di negeri ini khususnya bagi golongan B40.

“Harga rumah di Sabah begitu tinggi, justeru dengan adanya projek-projek perumahan seperti PPR akan dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri,” katanya.

Bung berkata, sejumlah mana pun peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025 ini, namun apa yang penting ialah memperbiki sistem penyampaian dan jaminan bajet agar ia dapat dibelanjakan sepenuhnya dan mencapai sasaran.

“Jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan perlu mempermudahkan segala urusan dan mengurangkan birokrasi untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan.”

Menurut beliau, kerenah birokrasi menyebabkan proses berkaitan mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan perlaksanaan tertangguh lebih lama daripada masa yang ditetapkan malah peruntukan yang disediakan tidak dapat dimanafaatkan sepenuhnya pada tahun yang sama sehingga dibawa ke tahun hadapan yang akhirnya membawa kerugian kepada rakyat.

“Kajian semula terhadap tatacara dan proses boleh dilakukan dan undang-undang serta peraturan yang sudah tidak relevan boleh ditambah baik sejajar dengan keadaan semasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.