Bajet 2025 Diharap Beri Peruntukan Lebih Untuk Syiar Islam – Majlis Ulama UMNO

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Majlis Ulama UMNO Malaysia menyatakan keyakinan bahawa Bajet 2025 kerajaan akan menambah peruntukan lebih banyak dana untuk syiar Islam.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata kerajaan mempunyai cita-cita tinggi terhadap Islam dan berharap peruntukan untuk agama dalam Bajet 2025 akan ditingkatkan.

“Saya penuh yakin bahawa kerajaan mempunyai cita-cita yang tinggi terhadap Islam ini dan sudah tentu bajet 2025 untuk agama dipertingkatkan. Sebelum ini pada bajet lalu khususnya untuk bajet agama sebanyak RM1.8 bilion saja dan diharapkan kali ini pada bajet 2025 kerajaan akan memberikan lebih peruntukan.

“Bajet ini bukan hanya merangkumi hal-hal pentadbiran, tetapi juga mencakupi semua aspek berkaitan Islam. Ia bukan sekadar berasal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Perdana Menteri, tetapi akan disalurkan terus ke bawah, termasuk kepada guru-guru KAFA, imam, dan individu lain yang terlibat. Pelaksanaan bajet ini mesti disempurnakan dengan berkesan.

“Usaha ini bertujuan agar setiap rakyat dapat melihat dan memahami bahawa ini adalah rancangan UMNO yang bertujuan untuk membuka ‘mata hati’ mereka,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Ia bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.