Pindaan RUU Perlembagaan Berkaitan Kewarganegaraan Bakal Bawa Perubahan Besar – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan di Dewan Rakyat pada semalam membawa manifestasi sendiri.

Menurut beliau, ini kerana ia bakal membawa perubahan besar dalam memberi hak yang sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara,

“Alhamdulillah, hari ini saya telah hadir di Mesyuarat Dewan Rakyat untuk sesi penggulungan perbahasan dan pengundian bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan.

“Pindaan ini bakal membawa perubahan besar dalam memberi hak yang sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara, di mana ibu mereka adalah warganegara Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

“Sebelum ini, hak ini hanya terpakai sekiranya bapa mereka seorang warganegara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, undian belah bahagi semalam yang menyaksikan seramai 206 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU tersebut memperlihatkan ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang yang menyokong usul itu memahami kepentingan pindaan tersebut.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menggulung perbahasan rang undang-undang ini dan keputusan pengundian menunjukkan bahawa 206 Ahli Parlimen telah menyokong pindaan ini, satu tidak bersetuju dan 14 lagi tidak hadir.

“Ini merupakan bukti kukuh bahawa semua pihak di Dewan Rakyat, sama ada dari blok Kerajaan mahupun Pembangkang memahami kepentingan pindaan ini dalam memastikan kesamarataan hak kewarganegaraan untuk semua.

“Semoga pindaan ini membawa kebaikan kepada ramai keluarga dan anak-anak Malaysia di luar negara, serta memastikan keadilan yang lebih menyeluruh untuk setiap anak Malaysia insya-Allah,” ujar beliau.

Terdahulu, Dewan Rakyat pada semalam meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Seramai 70 ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan berkaitan kewarganegaraan ini yang bermula Rabu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.