Pelbagai Medium Kuatkan Parti Pelbagai Peringkat UMNO Tangga Batu – Rais

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Perjumpaan berkala dan tidak berkala bersama pimpinan UMNO bahagian Tangga Batu termasuklah pimpinan cawangan merupakan salah satu pendekatan yang diambil Datuk Rais Yasin selaku Ketua UMNO bahagian berkenaan dalam usaha memperkasakan lagi parti di semua peringkat.

Di samping pelbagai tugas sebagai Exco serta wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, usaha memperkemaskan lagi struktur parti di dipelbagai peringkat diperkasakan seiring dengan perkembangan semasa apatah lagi ianya medan terbaik untuk bersua muka pimpinan setempat.

“Alhamdulillah… malam semalam saya mengadakan perjumpaan khas bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu dan Ketua-Ketua UMNO Cawangan. Inilah peluang terbaik untuk kami selaku kepimpinan UMNO Tangga Batu bertemu dan bermusyawarah secara mahabbah demi kepentingan parti keramat.

“Fokus perbincangan adalah tentang kesiapsiagaan UMNO Tangga Batu menghadapi pilihan raya akan datang. Saya mengingatkan peranan ahli kepimpinan bahagian dalam menunjukkan hala tuju yang jelas kepada akar umbi, demi memastikan kelancaran gerak kerja oleh jentera parti,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi perancangan yang teliti sudah pasti akan membolehkan segala pelaksanaan kelak berjalan lancar dan sebaik mungkin dalam usaha memastikan jentera bergerak dan berada dalam keadaan sewajarnya.

“Perancangan yang teliti dan persediaan awal juga perlu dilakukan terutamanya di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Paling penting, politik berpaksikan khidmat bakti kepada rakyat wajib diteruskan di seluruh Parlimen Tangga Batu. Inilah kunci utama bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Semoga setiap usaha kita diberkati dan dibalas ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Sudah, pedulikan kata-kata negatif oleh musuh politik kita. Insya-Allah, UMNO istiqamah bergerak maju ke hadapan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat di Tangga Batu,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.