Belanjawan 2025 Diharap Beri Impak Positif Kepada Golongan Muda – Tengku Muhammed Hafiz

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan mengharapkan Belanjawan 2025 dapat memberikan banyak impak positif dan kelegaan, khususnya kepada golongan muda di negara ini.

Beliau juga berharap agar belanjawan yang akan dibentangkan esok di Parlimen akan bersifat lebih inklusif dan berorientasikan rakyat agar dapat membantu menampung keperluan golongan yang paling terkesan oleh keadaan semasa.

Menurut Tengku Hafiz, belanjawan tersebut harus melindungi setiap segmen masyarakat yang kini berdepan pelbagai tekanan, terutama akibat impak kenaikan kos sara hidup yang terus meningkat.

“Kita menyaksikan banyak keluarga dan individu yang berpendapatan rendah dan sederhana berjuang untuk memenuhi keperluan harian mereka. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bantuan dan kelegaan disediakan bagi meringankan beban mereka,” ujarnya.

Sebagai Pengerusi Bersama Biro Ekonomi & Usahawan Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Hafiz juga menekankan perlunya sokongan terhadap golongan muda sebagai kunci dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam konteks ini, beliau berharap kerajaan akan memperkenalkan inisiatif yang lebih berkesan, termasuk program latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, agar golongan muda dapat bersaing di pasaran buruh dan tenaga kerja.

“Golongan muda merupakan aset penting negara. Mereka adalah generasi penerus yang akan menentukan masa depan Malaysia. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka tidak tertinggal dalam arus pembangunan ekonomi.

“Justeru, Belanjawan 2025 perlu menjadi platform yang mengukuhkan komitmen kerajaan dalam membantu golongan muda untuk mengatasi cabaran semasa,” katanya.

Tengku Hafiz juga menyorot kepentingan penglibatan golongan muda dalam sektor keusahawanan.

Ujarnya, kerajaan perlu mempunyai akses dalam menyediakan lebih banyak sokongan kepada usahawan muda melalui pelbagai cara khususnya untuk pembiayaan, latihan, dan peluang jaringan yang lebih luas.

“Dengan membantu golongan muda menjadi usahawan, kita bukan sahaja membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” tambahnya.

Beliau berharap agar segala usaha yang dirancang dalam belanjawan tersebut dapat direalisasikan demi kesejahteraan dan kemajuan golongan muda di Malaysia.

“Kami percaya bahawa dengan pendekatan yang tepat dan kerjasama yang erat antara kerajaan dan masyarakat, kita dapat membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Dengan harapan dan keyakinan yang tinggi, Tengku Hafiz menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong inisiatif yang akan memberi manfaat kepada golongan muda dan memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 4 petang esok. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.