Bajet 2025: Tambah Bantuan STR Kepada Rakyat, Baucar Buku Ringankan Beban Pelajar IPT – Azhari

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pembentangan Bajet 2025 esok sudah tentunya ditunggu-tunggu rakyat Malaysia sebagai hala tuju kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari beliau melihat keperluan untuk kerajaan memberikan penambahan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Menurut beliau, pemberian tersebut disalurkan kepada keseluruhan kelompok masyarakat mengikut kategori sebelum ini.

“Ditambah bantuan STR untuk semua kategori kerana kos barang makan mahal dan banyakk subsidi telah ditarik dan cukai-cukai baru.

“Ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada rakyat yang terhimpit dengan beban kewangan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari dalam pada itu turut menekankan aspek pendidikan dengan berharap kerajaan untuk meningkat nilai pemberian baucar buku kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut beliau ia akan membantu pelajar untuk membeli barangan keperluan pendidikan mereka ketika dalam pengajian.

“Baucar buku dan peralatan untuk pelajar-pelajar IPTA. Dulu sebelum 2018 voucher IPTA RM200 dan sekarang dicadangkan ke RM300,” ujar beliau.

Sementara itu, Azhar juga berharap tumpuan kepada usaha pemilikan rumah untuk golongan muda dan juga meningkatkan geran usahawan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dapat dilaksanakan kerajaan pada bajet yang akan diumumkan pada esok.

“Saya berharap kerajaan membina semula rumah mampu milik bawah RM150,000 rumah pertama dan bawah 40 tahun.

“Juga menambah geran usahawan di SME Corp dari RM500,000 ke RM1 juta,” ujar beliau.

Untuk rekod, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada esok akan membentangkan Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.

Untuk rekod Bajet 2024 berjumlah RM393.8 bilion, diiktiraf belanjawan terbesar dalam sejarah negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.