Belanjawan 2025 Realiti Komitmen Untuk Pacu Pertumbuhan Ekonomi Lebih Pesat – Mohd Zaidy

JEMPOL, 17 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, yakin bahawa lebih banyak pembaikan struktur ekonomi akan diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat ini.

Katanya, keutamaan yang perlu difokuskan adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang pesat agar kestabilannya dapat dinikmati oleh rakyat secara saksama termasuklah pembangunan di peringkat negeri.

“Belanjawan kali ini sangat penting memandangkan ini adalah kesinambungan pentadbiran kerajaan dalam memastikan kemakmuran rakyat sentiasa terjamin dan semua pihak mendapat pulangan atau impak yang positif,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Belanjawan 2025 bukan sahaja perlu berfokus kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memastikan manfaat daripada kemajuan dan pembangunan yang dinikmati secara adil dengan semua lapisan masyarakat.

“Dengan langkah-langkah yang lebih inklusif, ekonomi Malaysia akan dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Diharap lebih banyak pembaikan struktur ekonomi akan diperkenalkan menerusi Belanjawan 2025 untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dapat dikongsi dengan rakyat secara holistik, termasuklah soal pendidikan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup,” jelasnya.

Beliau mengakui bahawa iltizam kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang kekal berdaya saing dan mampan, melalui kepelbagaian ekonomi, akan memberi impak yang besar kepada pembangunan negeri-negeri di seluruh negara.

“Kerajaan MADANI telah menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi negara yang berdaya saing tetapi juga mampan dari segi ekonomi dan sosial.

“Maka kerana itu perlu adanya pembaharuan dalam Belanjawan 2025 kerana rakyat mahukan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan pada masa yang sama memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri.

“Setelah melalui pelbagai cabaran pada penggal-penggal yang lalu maka kini rakyat mahukan fokus kepada pembaikan struktur ekonomi, kesejahteraan, dan kepelbagaian dalam pembangunan dan kemajuan dan apa yang penting adalah dapat membawa manfaat meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Dilaporkan, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dijadual akan membentangkan Belanjawan 2025, yang bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’. Ia merupakan belanjawan ketiga yang digarap oleh Kerajaan MADANI sejak penubuhannya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.