‘Pas Jangan Lebih Sudu Daripada Kuah’ – Puad

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Pas sebagai lebih sudu daripada kuah.

Menurut beliau ini kerana mereka menyifatkan penyertaan adik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Abdul Hakim Hamidi ke parti itu sebagai hari bersejarah.

“Pas kata ‘hari ini dalam sejarah’ bila Hakim Hamidi adik Presiden UMNO sertai Pas. Sepatutnya yang lebih layak terima pujian itu ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau Annuar Musa.

“Mereka berdua bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO. Hakim bukan ‘heavyweight’. Mungkin pandai berniaga. Pas jangan lebih sudu dari kuah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit bahkan berkata tidak membawa kerugian kepada UMNO apabila Hakim Hamidi menyertai Pas.

Ini kerana katanya UMNO terus mengukuh di bawah dukungan ahli parti dalam membawa aspirasi rakyat.

“UMNO tidak hairan Hakim masuk Pas. UMNO jalan terus. Mad Tyson kembali kepada UMNO. Kita tunggu Annuar Musa. Apa Pas dapat darinya. Kalah lagi teruk di Nenggiri.

“Tidak ada apa dalam Pas baik manis iman, survival politik atau perjuangan Islam. UMNO tidak hairan siapa keluar parti di bawah Zahid, UMNO punyai bargaining power sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.