Belanjawan 2025: Kerajaan Diharap Beri Fokus Kepada Kesejahteraan Rakyat – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kerajaan diharap dapat memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat ketika membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat ini pada sidang Dewan Rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi turut mengharapkan agar kerajaan mengamalkan sikap transparensi dan akauntabiliti untuk mengelakkan sebarang ketirisan ketika menjayakan belanjawan tersebut.

“Secara ringkas, pandangan saya mengenai pembentangan Belanjawan 2025 perlulah mencakupi beberapa perkara antaranya transparensi dan akauntabiliti. Kerajaan perlu menyediakan laporan yang jelas dan terperinci tentang perbelanjaan dan pendapatan kerajaan.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memberi keutamaan kepada program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat seperti meningkatkan bantuan kewangan kepada golongan B40 dan M40 di kawasan bandar, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Untuk pelaburan dalam infrastruktur, kerajaan perlu menggandakan usaha dalam membangunkan dan membaik pulih infrastruktur yang terjejas dengan cekap serta efisien. Ini termasuk pengangkutan awam, jalan raya, kemudahan awam dan lain-lain,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, dalam usaha untuk membangunkan sektor ekonomi negara, kerajaan perlu menyediakan insentif kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta mengurangkan karenah birokrasi.

“Saya berpandangan bahawa kerajaan perlu menyediakan insentif dan bantuan kepada SME, ‘startup company’ dan anak-anak muda yang baru memulakan perniagaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta penjanaan pekerjaan. Dalam masa sama mengurangkan karenah birokrasi dan syarat-syarat yang ketat untuk kelulusan bantuan.

“Kerajaan juga perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi dan inovasi untuk memastikan Malaysia bersaing di peringkat global di samping memperkenalkan program yang menyokong pembangunan lestari serta pemuliharaan alam sekitar dengan lebih agresif, termasuk penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Di samping itu, kerajaan perlu menggalakkan pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran untuk memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa depan. Dalam hal ini Pendidikan TVET dan STEM perlu diberikan keutamaan bagi menjayakan agenda tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar kerajaan memperkenalkan strategi baharu untuk mengurangkan beban hutang negara.

“Pada saya, kita perlu menggalakkan penglibatan masyarakat dalam perancangan dan pelaksanaan belanjawan untuk memastikan keperluan rakyat diambil kira. Bantuan Sejati Madani juga hendaklah disalurkan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO), tidak terhad kepada JPKK, JPKKP dan persatuan penduduk sahaja.

“Kerajaan juga perlu memperkenalkan strategi baharu untuk mengurangkan beban hutang negara dan memastikan pengurusan kewangan yang baik. Mengelakkan perbelajaan mewah dan tidak perlu dalam sektor awam termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar kerajaan memperuntukkan dana bagi program-program melibatkan kesihatan mental dan kesejahteraan sosial.

“Saya juga berharap agar kerajaan memperuntukkan dana bagi program-program yang menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan sosial dengan antaranya memberi galakan untuk melahirkan kaunselor-kaunselor yang bertauliah dan pakar psikiatri.

“Dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif ini, pembentangan belanjawan dapat menjadi lebih berkesan dan memberi impak positif kepada masyarakat serta ekonomi negara selaras dengan konsep Negara Madani yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya lagi.

Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 2024 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.