Komitmen Kerajaan Dalam Perjuangkan Hak Ibu Untuk Kewarganegaraan Dihargai – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menzahirkan penghargaan pada Menteri Dalam Negeri yang begitu komited untuk menyelesaikan sebanyak 14,000 kes permohonan warganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak pada tahun ini juga.

Menurut beliau, pasukan KDN dan agensi-agensi kerajaan telah bertungkus-lumus untuk melengkapkan cadangan dasar baharu pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan iaitu mengenai kewarganegaraan ini.

“Menerusi pindaan kali ini, didapati Bahagian III Perlembagaan Persekutuan bakal menjadi lebih relevan dan signifikan dengan perubahan demografi penduduk serta aspek sosial dalam era globalisasi.

“Terutamanya berkaitan pindaan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan yang telah diberikan nafas baharu iaitu dengan menggantikan perkataan ‘bapa’ kepada ‘sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa’.

“Bagi memberikan keadilan kepada kaum ibu yang selama ini telah dinafikan hak mereka untuk menurunkan kerakyatannya kepada anak-anak yang dikandung selama sembilan bulan dan dilahirkan sendiri oleh mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Perbahasanan Rang Undang-undang (RUU) Persekutuan (Pindaan) 2024, semalam.

Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin turut menyatakan cadangan awal pindaan adalah untuk memansuhkan Seksyen 19B Jadual Kedua yang memperuntukkan mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai, ditinggalkan tanpa perlindungan dimana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya adalah seorang warganegara.

“Dalam erti kata lainnya, syor sebelum ini adalah untuk mengubah perkara berkenaan daripada memperoleh kewarganegaraan melalui kuasa undang-undang kepada kewarganegaraan melalui pendaftaran di bawah bidang kuasa menteri.

“Syor berkenaan terpaksa dibatalkan setelah mengambil kira pendapat pelbagai pihak menerusi bermacam-macam siri perbincangan sebelum ini.

“Saya ingin mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam iaitu apakah perkara yang telah menjadi pertimbangan kementerian di peringkat awal cadangan pindaan sehingga mengesyorkan perkara tersebut? Dan apakah pula perkara yang telah menjadi pertimbangan kementerian untuk membatalkan syor tersebut dan mengekalkan undang-undang sedia ada,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Isam menjelaskan sudah pasti Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai sebab-sebab yang kukuh dan asas yang tersendiri.

“Maka sebab itulah syor untuk memansuhkan Seksyen 19B Jadual Kedua berkenaan telah dibuat sebelum ini. Berapa banyakkah kes yang telah direkodkan yang dapat dibuktikan bahawa bayi terbuang tersebut telah lahir di tempat lain dan ibunya pula adalah seorang bukan warganegara?

“Bagaimanakah kaedah pembuktian tersebut dibuat? Bagaimanakah kaedah siasatan tersebut dijalankan? Apakah cara atau kaedah untuk mengenal pasti sama ada ibu kepada seorang bayi yang dijumpai itu merupakan warganegara atau sebaliknya?

“Syor awal cadangan pindaan yang dikemukakan sebelum ini turut mempunyai kepentingannya tersendiri iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memelihara aspek kedaulatan negara menerusi kewarganegaraan,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.