UMNO Papar Pelbagaikan Gerak Kerja, Santuni Rakyat Pastikan Perjuangan Bersemarak
PAPAR, 16 Okt – UMNO Papar terus komited dalam menyantuni rakyat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang telah menjadi tradisi dalam parti.
Ketuanya, Datuk Jamal Nerubi berkata gerakan turun padang bersama masyarakat setempat dilihat sebagai cara efektif untuk mengukuhkan silaturahim dan memahami isu-isu di peringkat akar umbi.
Dalam usaha ini, ujarnya, UMNO Papar melaksanakan ziarah rumah ke rumah, yang bukan sahaja mempererat hubungan tetapi juga membolehkan mereka mendengar suara rakyat secara langsung.
“Aktiviti ini telah menjadi kaedah utama UMNO sejak dahulu lagi dan dilaksanakan secara berkala untuk memastikan hubungan dengan masyarakat sentiasa terjalin erat.
“Selain itu, kita juga melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan. Antaranya adalah program kebajikan seperti menyantuni keluarga yang kurang berkemampuan, bantuan kepada golongan warga emas, dan inisiatif kesihatan dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.
Ujar beliau, program-program ini bertujuan untuk membantu masyarakat dalam situasi yang berbeza, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial selain menjadikan UMNO sebagai jambatan untuk maklumat kepada kerajaan Pusat.
Jelasnya, salah satu program yang mendapat sambutan adalah pertandingan memancing di PDM Kampung Laut Kinarut, yang bukan sahaja menggalakkan aktiviti riadah tetapi juga memperkukuh ikatan komuniti.
“Pertandingan ini menjadi platform untuk masyarakat berkumpul, berinteraksi, dan berkongsi pengalaman, sekaligus menggalakkan penyertaan aktif dalam pelbagai acara komuniti.
“Melalui program sebegini, UMNO berusaha untuk memberikan maklumat yang berguna kepada rakyat, termasuk ruang dan peluang perniagaan serta latihan kemahiran yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
“Ini kerana kita tidak mahu ada yang ketinggalan dalam arus pembangunan dan berdepan dengan cabaran sosio-ekonomi semasa.”
Dengan pelbagai inisiatif ini, Jamal juga memaklumkan bahawa UMNO Papar bertekad untuk terus menjadi suara kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Kita sentiasa berusaha untuk mendekati masyarakat dalam pelbagai keadaan, sentiasa bersedia membantu dan memberi sokongan. Ini menunjukkan komitmen UMNO untuk terus menjadi parti yang relevan dan berkhidmat untuk rakyat, bukan hanya semasa pilihan raya tetapi sepanjang tahun,” katanya lagi. – UMNO Online