Peralihan Dasar Monetari Global Beri Kesan Terhadap Prestasi Ringgit Malaysia – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mewakili Menteri Kewangan berkata, pergerakan nilai ringgit pada tahun ini didorong oleh perkembangan dalam pasaran global dan prestasi ekonomi domestik yang kukuh.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan sejak 2022, kadar dasar yang lebih tinggi di negara ekonomi utama telah menarik dana pelabur dari negara membangun termasuk Malaysia.
“Dengan peralihan pendirian dasar monetari ekonomi utama global, terutamanya Amerika Syarikat yang telah mula menurunkan kadar dasar, tingkah laku pelabur turut berubah berikutan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil.
“Perkembangan ini telah menyebabkan kesanggupan mengambil risiko pelabur terhadap mata wang pasaran yang pesat membangun termasuk ringgit meningkat. Selain perkembangan global, Ringgit Malaysia menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding mata wang serantau didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan Kerajaan.
“Pendekatan Kerajaan meyakinkan kerana mengambil pendekatan pertamanya, menetapkan hala tuju jelas melalui kerangka Ekonomi MADANI dan keduanya, menyusuli dengan pelaksanaan pembaharuan dasar termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyasaran subsidi elektrik, air dan diesel,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dari Chong Zhemin (Kampar) yang meminta Minta Menteri Kewangan menyatakan faktor-faktor nilai Ringgit melonjak naik ke paras RM4.15/USD dan menurut ramalan BMI Ringgit dijangka akan terus melonjak ke paras RM3.55/USD pada akhir 2025.
Tambah Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor ini lagi, kerangka Ekonomi MADANI juga disokong melalui kertas dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menetapkan strategi dan fokus pelaburan negara untuk menyokong peralihan ekonomi negara supaya lebih makmur, mampan dan terangkum.
Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian menambah asas ekonomi negara juga akan bertambah kukuh pada suku ekonomi kedua 2024 berbanding sebelum penularan Covid 19.
“Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus berbanding suku pertama 4.2 peratus; pengangguran terus menurun ke paras 3.2 peratus bulan Ogos 2024 selaras dengan keadaan sebelum COVID-19 dan inflasi Ogos 2024 pada 1.9 peratus kekal pada tahap terkawal berbanding 2peratus untuk tiga bulan sebelumnya.
“Selain itu, pelaburan yang diluluskan, perdagangan serta indeks pengeluaran perindustrian menunjukkan prestasi yang lebih kukuh serta sistem kewangan yang teguh turut menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,” ujarnya.
Ujarnya lagi, Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengambil tindakan terselaras untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat.
“Langkah ini membantu mewujudkan aliran dua hala yang lebih rancak dalam pasaran pertukaran asing domestik seterusnya membantu mengukuhkan nilai ringgit,” jelas beliau. – UMNO Online