Bulan Kaunseling Kebangsaan: KPWKM Komited Tingkat Kesedaran Masyarakat
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan perkhidmatan kaunseling profesional.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Bulan Kaunseling Kebangsaan diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada peranan kaunslor berdaftar dalam memberikan perkhidmatan.
“Pada petang Selasa saya telah merasmikan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘TEKAD EMPATI, SEJAHTERA INSANI’.
“Pelaksanaan Bulan Kaunseling Kebangsaan adalah bagi mengiktiraf peranan kaunselor berdaftar dalam memberikan perkhidmatan kaunseling profesional,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia turut memaklumkan bahawa sambutan tersebut juga memberi tumpuan terhadap peranan kaunselor di samping meningkatkan aksesibilitinya kepada masyarakat.
“Sambutan ini juga memberikan tumpuan kepada peranan kaunselor dalam menangani isu semasa, membudayakan perkhidmatan kaunseling, meningkatkan aksesibiliti perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat dan mempromosikan perkhidmatan kaunseling dan profesion kaunselor sebagai tunjang kesejahteraan masyarakat.
“Kementerian sentiasa komited dalam sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling profesional.
“Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi, Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia , Professor Dr Othman Datuk Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Prabakaran Sangarajoo dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kaunselor, Sadli Osman,” katanya.
‘TEKAD EMPATI, SEJAHTERA INSANI’ telah dipilih sebagai tema Bulan Kaunseling Kebangsaan 2024 selaras dengan agenda nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan penerapan nilai ihsan mampan, sejahtera, saling menghormati, bersikap prihatin, saling empati dan menjadi teras kesuburan kesejahteraan masyarakat Malaysia.
Pemilihan tema ini juga bertepatan dengan keprihatinan kerajaan dalam prestasi kesejahteraan masyarakat Malaysia yang kini terdedah dengan ancaman proses globalisasi seperti isu psikososial, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
Majlis perasmian tersebut telah dihadiri oleh 600 peserta terdiri daripada kaunselor berdaftar, wakil-wakil Kementerian, Jabatan dan Agensi serta NGO antaranya PERKAMA International (Persatuan Kaunseling Malaysia), Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (PEKA), Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK), Persatuan Kaunselor Pendidikan MARA (PEKAMARA) dan gabungan-gabungan persatuan kaunseling yang lain. – UMNO Online