APMCDRR: Malaysia Komited Manfaat Teknologi Terkini, Bersedia Hadapi Bencana
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Malaysia komited untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini dalam persediaan menghadapi bencana, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi satu kenyataan, beliau yang juga Presiden UMNO telah mewakili Malaysia pada Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Manila pada Selasa.
“Hari ini, saya berbesar hati mewakili Malaysia pada Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Manila. Persidangan ini memberi tumpuan kepada amalan bersama dan usaha kolektif untuk menangani peningkatan kekerapan serta situasi bencana alam di rantau ini.
“Saya telah berkongsi kemajuan Malaysia dalam Pengurangan Risiko Bencana (DRR), terutamanya dengan penekanan terhadap Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
“Dasar ini menandakan perubahan penting dalam pendekatan kami terhadap pengurusan risiko bencana, dengan penekanan kuat terhadap mitigasi risiko,” katanya.
Jelasnya, dasar tersebut bersifat holistik dan memberikan mandat jelas untuk mengintegrasikan DRR ke dalam perancangan pembangunan dan mengamalkan pendekatan ‘dari bawah ke atas’.
“Ia telah memberi hak upaya kepada kerajaan tempatan, pemimpin komuniti, NGO, dan sektor swasta untuk memainkan peranan aktif bersama-sama kerajaan pusat dalam mengarus perdanakan konsep DRR di peringkat tempatan.
“APMCDRR membuka peluang bernilai bagi Malaysia melaksanakan amalan terbaik global, mengguna pakai strategi berkesan dari seluruh rantau Asia Pasifik ke arah memperkukuh kerangka pengurusan bencana sedia ada.
“Di samping itu, saya memberi penekanan terhadap komitmen Malaysia dalam memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini dalam persediaan menghadapi bencana,” katanya.
Menurutnya, Sistem Ramalan Cuaca Berangka (NWP) turut dilengkapi dengan Program Ramalan dan Amaran Banjir Kebangsaan yang menyediakan ramalan tepat bagi kemungkinan banjir melanda.
“Sistem Ramalan Cuaca Berangka (NWP) kita membolehkan amaran awal dikeluarkan sehingga tujuh hari lebih awal, bagi membolehkan persediaan lebih tersusun di bandar-bandar besar.
“Ini melengkapi Program Ramalan dan Amaran Banjir Kebangsaan yang menyediakan ramalan tepat bagi kemungkinan banjir melanda, merentasi 89 lembangan sungai utama.
“Strategi menyeluruh ini memberi impak yang ketara, mengurangkan kerugian kewangan akibat Monsun Timur Laut daripada USD 220 juta pada tahun 2022 kepada USD 60 juta pada tahun 2023. Ini menunjukkan keberkesanan inisiatif DRR kami dalam melindungi nyawa dan sumber,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa usaha Malaysia dalam pengurusan risiko bencana kekal teguh dan beranggapan bahawa persidangan tersebut dapat mengukuhkan komitmen membina daya tahan seluruh rantau asia.
“Menerusi kerjasama dan perkongsian amalan terbaik, kita berupaya membina daya komuniti yang lebih ampuh dan berdaya tahan, lebih besedia bagi mendepani cabaran mendatang.
“Saya juga berkesempatan melakukan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Sara Duterte, Naib Presiden Republik Filipina. Dalam perbincangan kami, kami meneroka pelbagai peluang kerjasama antara kedua-dua negara, termasuklah menembusi potensi industri halal, memperkukuhkan kerjasama TVET, dan meneroka peluang perdagangan baharu,” katanya lagi. – UMNO Online